Polis tumpaskan sindiket penipuan kerja sambilan tidak wujud

Bernama
Ogos 9, 2023 16:16 MYT
Modus operasi sindiket adalah kononnya menyediakan kerja sambilan menerusi YouTube dengan hanya 'Like' (meletakkan tanda suka) and 'Share' (kongsi) ke akaun yang ditetapkan dalam satu kumpulan Telegram. - Gambar hiasan
KUCHING: Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan tawaran kerja sambilan tidak wujud dalam serbuan di dua kondominium di bandar raya ini, Isnin lepas.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata serbuan pada 8 malam itu menahan empat lelaki serta seorang wanita berusia lingkungan 20-an.
"Hasil pemeriksaan menjumpai 45 kad ATM pelbagai bank, 21 telefon bimbit pelbagai jenama, tiga kenderaan, tiga komputer serta dua modem dan router Wi-Fi," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket tersebut beroperasi sebagai 'pusat panggilan' yang menjalankan kegiatan mengawal akaun bank dan membuat pemindahan wang.
"Modus operasi sindiket adalah kononnya menyediakan kerja sambilan menerusi YouTube dengan hanya 'Like' (meletakkan tanda suka) and 'Share' (kongsi) ke akaun yang ditetapkan dalam satu kumpulan Telegram.
"Golongan sasaran adalah dalam kalangan rakyat tempatan dan Indonesia. Sindiket ini dipercayai aktif sejak Jun lepas dengan kerugian dianggar berjumlah RM1.8 juta," katanya.
Menurut Mancha kesemua suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
-- BERNAMA
#sindiket penipuan #tawaran kerja sambilan #polis #pemindahan wang
;