Polis Johor menumpaskan satu sindiket pemalsuan sijil cuti sakit yang menyerupai sijil yang dikeluarkan oleh Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas menahan empat lelaki dalam beberapa serbuan di sekitar Bandaraya Johor Bahru, di sini, baru-baru ini.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor ACP Mohd Salleh Abdullah, kesemua yang ditahan berumur dalam lingkungan 28 dan 37 tahun itu dipercayai dalang kepada sindiket berkenaan.

Beliau berkata serbuan yang bermula 3 Mei hingga 5 Mei lalu diadakan di beberapa tempat iaitu Tampoi, Kampung Melayu Majidee, Taman Bukit Kempas dan Taman Desa Johor Bahru.

"Hasil siasatan polis mendapati sindiket ini telah aktif selama setahun dan menjual sijil palsu berkenaan pada harga RM25. Kegiatan sindiket ini terbongkar apabila seorang majikan telah tampil ke HSA untuk membuat pengesahan sijil berkenaan dan hasil penelitian pihak HSA mendapati sijil berkenaan adalah palsu berdasarkan nombor siri dan rekod hospital," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, pada Ahad.

Menurut Mohd Salleh, kesemua suspek kini direman di mana dua suspek ditahan sehingga 7 Mei ini dan dua lagi ditahan sehingga 8 Mei dan tempoh reman berkenaan akan dipohon untuk dilanjutkan bagi membolehkan polis menjalankan soal siasat untuk mengesan saki baki ahli sindiket tersebut.

"Dua daripada suspek yang ditahan bekerja sebagai pembantu restoran, seorang sebagai penyelenggara pendingin hawa dan seorang lagi bekerja di sebuah syarikat percetakan. Kita percaya mereka adalah ''kepala'' sindiket ini dan polis masih sedang menyiasat sama ada masih ada ahli-ahli lain yang terlibat dalam kumpulan ini," jelasnya.

Dalam pada itu, polis juga merampas peralatan dan barangan yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan sijil-sijil palsu berkenaan antaranya 69 helai sijil cuti sakit palsu bernombor, lima helai sijil palsu bercop pegawai perubatan, tujuh helai sijil tidak bernombor, sehelai kertas pendua, enam cop nama doktor, sebuah cop bertulis ''Pegawai Perubatan HSA'' palsu, sebuah cop bertulis: 'Pegawai Perubatan Klinik Pesakit Luar Jalan Mahmoodiah' palsu dan 59 helai kulit buku sijil cuti sakit warna kuning.

Selain itu, pihaknya juga merampas beberapa barangan lain seperti satu peket plastik lutsinar berisi dadah jenis ganja, sebuah senjata buku lima, empat telefon bimbit dan sebuah kereta jenis Proton Persona.

Menurutnya lagi, hasil siasatan polis mendapati sindiket ini menjual sijil cuti sakit kepada warganegara Malaysia yang bekerja di jabatan kerajaan dan swasta di sekitar Johor Bahru dan Singapura.

"Modus operandi mereka adalah menjual sijil cuti sakit palsu yang mempunyai cop nama doktor dan pembeli hanya perlu mengisi sendiri tarikh cuti. Daripada enam cop nama doktor yang dirampas, hanya satu cop nama yang mempunyai nama yang hampir sama dengan seorang doktor di HSA dan cop tersebut juga tidak sama dengan cop yang asli," kata Mohd Salleh.

Bagaimanapun, hasil siasatan polis mendapati tiada kakitangan hospital yang terlibat dengan kegiatan itu dan tangkapan itu merupakan yang terbesar melibatkan kes pemalsuan sijil cuti sakit yang dilaporkan oleh HSA.

Kes disiasat di bawah Seksyen 466 Kanun Keseksaan kerana memalsukan Rekod Mahkamah atau Daftar Beranak Awam yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Ia juga disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA