Polis tumpaskan sindiket iklan judi 'online' guna aplikasi WeChat

Afiq Ariffin
November 13, 2018 16:14 MYT
Datuk Seri Mazlan Lazim (dua dari kanan) berkata sindiket tersebut menggunakan aplikasi WeChat untuk mengiklankan sistem perjudian mereka kepada pengguna di China. - Astro AWANI
Pasukan Polis Kuala Lumpur berjaya menumpaskan sindiket pengiklanan judi atas talian dan merampas wang tunai dalam mata wang ringgit dan yuen berjumlah RM34,917 dipercayai digunakan untuk pengurusan muslihat berkenaan, pada petang Jumaat.
Serbuan yang dibuat di dua premis rumah banglo di Jalan Gurney itu berjaya menahan suspek berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun yang terdiri daripada 97 lelaki dan 20 wanita yang kesemuanya warga China manakala seorang lagi adalah warga tempatan.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim sindiket tersebut menggunakan aplikasi WeChat untuk mengiklankan sistem perjudian mereka kepada pengguna di China.
“Kalau kita lihat pada barang rampasan yang ada di sini, kita boleh lihat mereka menawarkan pengiklanan laman web perjudian ini di aplikasi Wechat.
“Namun, pengiklanan di aplikasi WeChat ini adalah untuk pasaran di negara China,” katanya menerusi kenyataan media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur awal pagi tadi.
Tambah beliau, sindiket menggunakan WeChat Pay dan Ali Pay sebagai platform transaksi wang haram tersebut.
Pihaknya juga turut merampas pelbagai barangan elektronik yang digunakan untuk kegiatan itu seperti 118 komputer riba, 479 telefon bimbit, dua set komputer dan 154 kad SIM.
Siasatan juga mendapati premis tersebut telah beroperasi hampir enam bulan dan ia dijadikan sebagai tempat pengurusan pemasaran dan komputer pelayan aktiviti perjudian.
Kesemua tangkapan kini ditahan reman selama empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Pertaruhan 1953.
#Datuk Seri Mazlan Lazim #judi #Ketua Polis Kuala Lumpur #online #sindiket #WeChat
;