Polis tumpaskan sindiket dadah didalangi warga Indonesia
Afiezy Azaman
November 21, 2023 10:40 MYT
November 21, 2023 10:40 MYT
KUALA LUMPUR: Satu sindiket dadah yang didalangi seorang lelaki warga Indonesia di ibu negara berjaya ditumpaskan.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, sindiket itu dianggotai lima warga tempatan lain termasuk seorang wanita yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
Katanya, dua serbuan dilakukan di sebuah unit kondominium mewah di Jalan Ampang Kiri pada 7.20 malam, Jumaat lalu.
"Dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki warga Indonesia, empat lelaki dan seorang wanita warga tempatan kesemuanya berusia lingkungan 26 hingga 46 tahun di lobi dan bilik rumah kondominium itu.
“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah yang disyaki disewa itu berjaya membawa kepada penemuan dan rampasan 10 bungkusan dadah mampat disyaki syabu seberat 10 kilogram di kawasan lobi kondominium tersebut," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Allaudeen berkata, nilai rampasan syabu itu adalah dianggarkan berjumlah RM341,000.
Dalam masa yang sama, polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Alphard, Vios dan Perodua Alza.
Semakan polis juga mendapati kesemua lima suspek warga tempatan itu mempunyai rekod jenayah lampau narkotik dan jenayah manakala kesemua mereka juga disahkan positif methaphetamine.
"Kesemuanya bernilai RM290,000 yang dipercayai digunakan oleh sindiket untuk mengambil bekalan dari sempadan negara dan pengedaran sekitar ibu negara.
“Sindiket pengedaran ini bergerak aktif dalam aktiviti pengedaran dadah ini sejak dua bulan lalu sekitar ibu negara. Modus operandi sindiket ini adalah menghantar bekalan dadah kepada pelanggan mengikut pesanan yang diterima dengan menggunakan kenderaan," katanya.
Kesemua enam suspek itu kini direman selama tujuh hari sehingga 24 November ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.