Polis tumpaskan 'lubuk' Macau Scam di ibu kota
Astro Awani
September 27, 2018 02:29 MYT
September 27, 2018 02:29 MYT
Pihak polis telah berjaya menumpaskan sindiket Macau Scam yang beroperasi di China dan menggunakan Kuala Lumpur sebagai pusat untuk membuat panggilan penipuan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, seramai 99 individu telah ditahan, termasuk seorang lelaki bergelar Datuk Seri dan seorang remaja berusia 14 tahun.
Menurut beliau, 93 daripada individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah pejabat di Jalan Stesen Sentral, KL Sentral itu merupakan warga China manakala selebihnya adalah warga tempatan.
"Kita telah berjaya menumpaskan sidiket tersebut yang beroperasi di China dengan menggunakan 'call centre' negara lain sebagai pusat operasi untuk menelefon mangsa-mangsa untuk menakutkan mereka seterusnya memindahkan wang mereka di negara tersebut," katanya dalam sidang media di Menara KPJ, di sini, pada Jumaat.
Amar Singh berkata, sindiket itu menjadikan Malaysia sebagai pusat aktiviti haram mereka kerana wujudnya kebocoran data peribadi serta wujudnya penggunaan Voice Over Internet Protocol ( VOIP) bagi mengendalikan panggilan luar negara.
Selain itu, katanya sindiket ini sering berpindah tempat operasi, dengan tujuan menyukarkan pihak polis mengesan kegiatan mereka.
Tambahnya, kesemua suspek kini masih direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.
Polis turut menasihati rakyat Malaysia supaya lebih berhati-hati dalam membuat pemindahan wang dan jangan memberi sebarang maklumat perbankan anda kepada individu tidak dikenali.