Polis tumpaskan kumpulan Ee lalat aktif curi kenderaan, pecah rumah

Sinar Harian
Julai 27, 2021 06:02 MYT
Kumpulan Ee lalat yang aktif dalam kegiatan curi kenderaan dan pecah rumah sejak awal tahun ini berjaya ditumpaskan apabila tujuh anggota kumpulan itu ditahan. -Gambar hiasan
ALOR SETAR: Kumpulan ‘Ee lalat’ yang aktif dalam kegiatan curi kenderaan dan pecah rumah sejak awal tahun ini berjaya ditumpaskan apabila tujuh anggota kumpulan itu ditahan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dengan penahanan anggota kumpulan itu, polis berjaya menyelesaikan 17 kes di Kedah dan satu kes di Perlis membabitkan nilai kerugian RM250,000.
Menurutnya, kumpulan terbabit dipercayai aktif sekitar daerah Kota Setar dan Kubang Pasu dengan menyasarkan kereta-kereta lama yang diletakkan di tepi jalan dan luar rumah serta premis perniagaan yang tidak beroperasi akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kesemua suspek yang ditahan berumur dalam lingkungan 20 hingga 46 tahun dan merupakan rakyat tempatan. Hasil siasatan mendapati mereka berasal dari daerah Kubang Pasu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari.
Kamarul Zaman berkata, hasil siasatan awal mendapati kumpulan ‘Ee lalat’ ini mula bergiat aktif dengan kegiatan jenayah terbabit sejak Januari susulan pelaksanaan PKP yang menyebabkan kawasan sasaran sunyi.
“Polis Kedah kini dalam proses untuk mendakwa kesemua suspek di mahkamah,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 dan 379A Kanun Keseksaan, selain tindakan bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959.
“Kami menyeru orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah kepada polis atau menghubungi talian 04-7326999 atau 04-7741403/1405” katanya.
Artikel asal di Sinar Harian: Polis tumpaskan kumpulan ‘Ee lalat’ aktif curi kenderaan, pecah rumah
#ee lalat #curi kenderaan #pecah rumah #Kamarul Zaman Mamat #kereta lama #Premis perniagaan #luar rumah #Pelaksanaan PKP #Mohd Roze Shaari
;