Polis tumpaskan kegiatan dua beradik pecah kedai dobi
Astro Awani
Februari 25, 2021 17:26 MYT
Februari 25, 2021 17:26 MYT
SUNGAI BULOH: Polis berjaya menumpaskan jenayah dua beradik yang aktif melakukan kegiatan pecah kedai dobi layan diri 24 jam di sekitar Sungai Buloh, Gombak dan Kuang.
Jenayah itu dibongkar hasil daripada dua serbuan yang dilakukan Polis Daerah Sungai Buloh di sekitar Kuang pada 11 dan 12 Februari lepas.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata kumpulan yang dikenali sebagai ‘Geng Along Kembar’ itu aktif melakukan jenayah sejak akhir tahun lepas dan turut mensasarkan taska dan kedai makan.
Pihaknya mengesan kegiatan tersebut selepas seorang pemilik kedai dobi layan diri membuat laporan polis apabila menyedari pejabat di premisnya dipecah masuk dan wang tunai serta token mesin basuh hilang.
Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan anggota polis melakukan serbuan di dua buah rumah di Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang.
Dalam serbuan itu, dua lelaki masing-masing berusia 20 dan 23 tahun dicekup bersama beberapa peralatan pecah kedai dan sebuah motosikal.
“Hasil dari serbuan dan tangkapan tersebut pihak polis telah berjaya merampas sebuah motorsikal jenis honda EX5, sebatang tukul dan dua batang pemutar skru.
“Pihak polis juga telah mengenal pasti sebanyak 11 kes ekoran daripada tertangkapnya kumpulan ini di mana nilai kerugian keseluruhan lebih kurang RM15,000.
“Kumpulan ini bergerak aktif bermula akhir tahun 2020,” katanya.
Semakan mendapati, salah seorang suspek baru saja dibebaskan dari penjara pada tahun lepas.
Dengan penangkapan itu polis berjaya menyelesaikan 11 kes membabitkan kumpulan tersebut.
Jumlah kerugian akibat kegiatan kedua-dua suspek itu dilaporkan bernilai lebih RM15,000 melibatkan kawasan Sungai Buloh, Gombak dan Kuang.