Polis tumpaskan kegiatan curi motosikal 'Geng Azhar'

Astro Awani
Februari 25, 2021 17:51 MYT
Polis menumpaskan kegiatan mencuri motosikal didalangi Geng Azhar yang aktif melakukan jenayah itu sejak akhir tahun lepas.
SUNGAI BULOH: Polis menumpaskan kegiatan mencuri motosikal didalangi ‘Geng Azhar’ yang aktif melakukan jenayah itu sejak akhir tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata pihaknya bertindak atas laporan polis oleh seorang mangsa yang kehilangan sebuah motosikal pada 8 Januari lepas.
Sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh melancarkan Ops Lejang bagi mengesan kumpulan terbabit.
Hasil operasi bermula 1 Februari lepas, polis melakukan 11 serbuan di beberapa lokasi di sekitar daerah berkenaan.
Dalam serbuan itu, polis berjaya menahan 14 lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang lelaki warga Indonesia yang menganggotai kumpulan tersebut.
“Hasil siasatan yang dijalankan pihak polis telah mengenal pasti 15 kes kecurian motosikal dan pihak polis telah berjaya menyelesaikan 12 kes dan (bagaimanapun) kesemua kenderaan tersebut masih dilaporkan hilang.
“Kumpulan ini bergerak aktif bermula hujung tahun 2020 sehinggalah tarikh kumpulan ini ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, serbuan juga berjaya menemui beberapa buah motosikal, rangka motosikal dan komponen yang sudah dileraikan.
Shafa'aton berkata kumpulan itu mensasarkan motosikal jenis Yamaha, Modenas dan Honda.
Mereka akan meleraikan motosikal dicuri untuk diambil komponen untuk kegunaan sendiri dan rangka motosikal akan dipotong dan dibuang di dalam tasik dan sungai.
Mereka turut menjual motosikal kepada pendatang warga using dengan harga RM500 hingga RM1,000 sebuah mengikut jenis motosikal.
Hasil jualan akan dibahagikan kepada anggota-anggota kumpulan.
Semakan mendapati sembilan suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau selain turut positif dadah.
#curi motosikal #Geng Azhar #Sungai Buloh #Polis Daerah Sungai Buloh #warga Indonesia
;