Polis tumpaskan dua kumpulan samun, tahan enam individu terlibat dadah

Astro Awani
Mei 18, 2020 09:05 MYT
Polis yakin tangkapan itu menyelesaikan sembilan kes samun serta curi motosikal sekitar Shah Alam, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.
Polis menumpaskan dua kumpulan samun yang aktif di Shah Alam, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur dengan penahanan enam individu termasuk seorang wanita warga asing sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kumpulan pertama ditumpaskan dalam satu serbuan di kawasan tempat letak kereta di Padang Jawa di sini pada Rabu lepas, selepas pihaknya menerima beberapa laporan kecurian motosikal di lokasi berkenaan.
“Dalam serbuan sekitar pukul 4 petang itu, polis menahan empat lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga asing dalam sebuah kereta yang di kawasan tersebut. Hasil pemeriksaan, polis menjumpai pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri motosikal dan pecah rumah,” katanya pada sidang media, di sini pada Isnin.
Baharudin berkata, hasil soal siasat ke atas suspek menemukan beberapa barangan disyaki dicuri antaranya dua motosikal, dua topi keledar, 10 jam tangan pelbagai jenama, lapan pasang kasut dan satu komputer riba.
Beliau percaya, tangkapan itu menyelesaikan sembilan kes samun serta curi motosikal sekitar Shah Alam, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur dan kesemua suspek berumur antara 20 hingga 33 tahun direman sehingga esok bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 379A/457 Kanun Keseksaan.
Baharudin berkata, kumpulan samun kedua pula tumpas dengan penangkapan dua lelaki berumur lingkungan 20-an di sebuah rumah di sini 13 Mei lepas dan pelbagai peralatan dirampas antaranya dua bilah pisau dipercayai digunakan untuk menyamun.
Katanya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua lelaki itu terlibat dalam kira-kira enam kes samun kedai serbaneka 24 jam di sekitar Shah Alam dan Klang Selatan dan mereka kini direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM30,000 dengan menahan enam lelaki berumur lingkungan 19 hingga 40 tahun dalam tiga tangkapan berasingan di sekitar Seksyen U12 dan Seksyen 32, baru-baru ini.
Katanya, tangkapan pertama pada 9 Mei lepas iaitu dua suspek warga tempatan berumur 27 dan 40 tahun di Seksyen U12 itu menemukan 110 peket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis heroin dianggarkan bernilai RM5,500 dalam kenderaan mereka.
Bagi tangkapan kedua pula katanya, seorang lelaki warga tempatan berumur 33 tahun ditahan di sebuah rumah di Seksyen 32 di sini kira-kira pukul 10 malam pada Selasa lepas dan pemeriksaan ke atas suspek serta kediaman itu menemukan 99.1 gram syabu dianggarkan bernilai RM13,000.
“Tangkapan ketiga dilakukan pada Jumaat lepas sekitar 1.40 pagi ke atas seorang lelaki berumur 30-an di Jalan Dato Yusuf Shahbudin, Klang. Hasil tangkapan itu, polis merampas empat botol berisi cecair disyaki mengandungi ganja," katanya.
#Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam #PDRM #perintah kawalan pergerakan bersyarat #PKP #PKPB