Polis tumpas sindiket penipuan pelaburan antarabangsa

Bernama
Februari 16, 2024 16:15 MYT
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf (kiri) bercakap pada sidang media mingguan di Menara KPJ Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penipuan pelaburan dalam talian antarabangsa yang menyasarkan warga Eropah, hasil penahanan 49 individu termasuk dua warga tempatan, di sebuah premis di Jalan Bukit Bintang di sini, 6 Feb lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata warga asing yang ditahan berusia 20 hingga 41 tahun terdiri daripada 11 rakyat Guinea, Algeria (lapan); masing-masing empat dari Togo dan Ukraine.
Turut ditahan masing-masing tiga dari Maghribi dan Mauritius; warga Cameroon (dua), Congo (dua), Ivory Coast (dua) dan Tunisia (dua) serta seorang dari Armenia, Senegal, Haiti, Djibouti, Madagascar dan Chad.
"Siasatan awal mendapati sindiket yang telah pun beroperasi di negara ini sejak enam bulan lepas, dipercayai terlibat dengan penipuan pelaburan Forex menyasarkan rakyat di Perancis, Ukraine, United Kingdom dan Switzerland.
"Mereka dipercayai menghantar pesanan ringkas secara rawak kepada mangsa melalui aplikasi Telegram selain meletakkan pautan iklan pelaburan dalam talian di laman web Riacapital," katanya dalam sidang media mingguan JSJK di sini hari ini.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas 47 set komputer, 49 telefon bimbit, enam komputer riba serta dua televisyen dan kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata siasatan mendapati dua warga Malaysia itu dipercayai berperanan sebagai fasilitator atau membantu menggerakkan sindiket di sini, manakala warga asing yang ditahan pula mempunyai pas lawatan yang telah tamat tempoh selain menyalahgunakan pas pelajar.
Bagaimanapun, Ramli berkata dua warga tempatan itu dibebaskan dengan jaminan selepas reman tamat pada 10 Feb, selain seorang wanita warga asing turut dibebaskan dengan jaminan polis pada 8 Feb kerana mengandung.
Suspek lain direman di bawah Akta Imigresen 1959/63 sehingga 23 dan 24 Feb ini.
-- BERNAMA
#Polis Diraja Malaysia #sindiket penipuan pelaburan #Jalan Bukit Bintang #JSJK Bukit Aman #Ramli Mohamed Yoosuf
;