Polis tumpas sindiket pengedaran, rampas dadah RM22.46 juta di Pulau Pinang

Dewi Nur Harasha Alias
Mac 1, 2021 17:13 MYT
Sindiket berkenaan aktif sejak Mei tahun lepas dan semua bekalan dadah berkenaan dipercayai diseludup dari Thailand. - Bernama
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket penyeludupan dadah dan merampas syabu seberat 623.76 kilogram (kg) bernilai RM22.46 juta selepas menahan dua lelaki di Bukit Mertajam, Khamis lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, aktiviti sindiket itu terbongkar selepas anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) mengesan sebuah lori yang diparkir dalam keadaan mencurigakan pada jam 2 pagi.
"Siasatan di lokasi kemudian mendapati tiga lelaki sedang memindahkan dadah dari lori berkenaan ke dalam sebuah kenderaan lain.
"Suspek yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri namun dua lelaki berjaya diberkas.
"Susulan tangkapan itu, sebanyak 495 bungkusan dadah jenis syabu dianggarkan seberat 511.95 kg bernilai RM18.43 juta dirampas sebelum polis menemui baki bungkusan dadah yang disimpan di sebuah kondominium di Juru Sentral," katanya pada sidang media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada Isnin.
Beliau berkata, susulan penemuan itu, polis kemudiannya menahan empat suspek berusia antara 27 hingga 51 tahun di sekitar Kulai dan Seri Alam, Johor serta di Sungai Buloh, Selangor, bagi membantu siasatan.
Razarudin berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati sindiket berkenaan aktif sejak Mei tahun lepas dan semua bekalan dadah berkenaan dipercayai diseludup dari Thailand ke Kelantan seterusnya dibawa ke Pulau Pinang bagi pasaran tempatan dan Indonesia.
Kesemua suspek ditahan reman antara enam hingga tujuh hari bermula Jumaat serta Sabtu lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek didapati negatif dadah namun seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
#Dadah #Syabu #pulau pinang #sindiket pengedaran dadah #RM22 juta #polis tumpas #URB #Unit Rondaan Bermotosikal #Lori #diparkir #sindiket antarabangsa #Thailand #Indonesia
;