Polis tumpas sindiket guna taktik baharu curi kereta mewah

Bernama
September 10, 2014 08:18 MYT
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata lelaki berusia 30-an ditahan Khamis lepas setelah dikesan menaiki sebuah kereta jenis Lexus, yang dipercayai dicuri.
Taktik baharu sindiket mencuri kenderaan mewah menggunakan peralatan canggih gagal setelah polis menahan seorang lelaki warga tempatan serta merampas empat buah kereta bernilai kira-kira RM1.5 juta.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata lelaki berusia 30-an ditahan Khamis lepas setelah dikesan menaiki sebuah kereta jenis Lexus, yang dipercayai dicuri.
Katanya, berikutan penahanan itu, polis berjaya menemui tiga lagi kenderaan mewah yang dilaporkan hilang di sekitar Lembah Klang sejak beberapa bulan lalu.
"Hasil serbuan di rumah suspek di Seksyen U10, Alam Budiman di sini, polis merampas pelbagai jenis peralatan mencuri kenderaan termasuk gajet canggih, alat membuat pendua kunci, 100 kunci kereta, cukai jalan palsu dan barangan mangsa seperti kad pengenalan.
"Polis masih memburu saki-baki anggota kumpulan sindiket," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.
Beliau berkata polis percaya sindiket berkenaan yang beroperasi sejak tiga tahun lepas terlibat dengan 18 kes curi kereta di sekitar Lembah Klang.
Katanya, berdasarkan siasatan, suspek yang ditahan reman sehingga Khamis dipercayai melakukan kegiatan mencuri kereta sepenuh masa dan kesemua kenderaan yang dicuri dipercayai akan dijual di luar negara.
Mohd Adnan berkata, modus operandi sindiket tersebut adalah dengan mengekori kereta yang disasarkan sebelum bertindak mematikan alat penggera menggunakan alat khas ketika mangsa hendak mengunci kenderaan.
"Tindakan itu menyebabkan mangsa tidak dapat menghidupkan alat penggera kereta dan terpaksa melakukannya secara manual untuk mengunci kenderaan.
"Selepas mangsa pergi, suspek akan menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu, menghidupkan kereta dan mematikan sistem penentu kedudukan global (GPS) sebelum melarikan kenderaan," katanya.
#curi kereta mewah #Mohd Adnan Abdullah #polis
;