Polis tumpas sindiket edar heroin RM4.05 juta

Bernama
Februari 20, 2023 18:07 MYT
Sasikala Devi (dua dari kiri) menunjukkan antara ketulan dadah jenis heroin base yang dirampas menerusi serbuan pada Rabu. - Gambar/ Sinar Harian
SHAH ALAM: Polis merampas dadah jenis heroin seberat kira-kira 46.7 kilogram (kg) dengan anggaran nilai RM4.05 juta, selepas menahan tiga lelaki di sekitar Klang dan Kupang, Kedah, Rabu lepas.
Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk S.Sasikala Devi berkata pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman memberkas seorang lelaki yang menaiki kereta jenis Mercedes Benz di sekitar Klang pada 3.30 petang.
Katanya hasil penahanan itu, polis merampas satu plastik hitam berisi 10 ketulan mampat disyaki heroin seberat kira-kira 3.8 kg dalam kenderaan lelaki berkenaan.
"Susulan tangkapan itu, polis menahan seorang lagi suspek di rumahnya di Kapar, Klang pada kira-kira 4.20 petang sambil dipandu arah oleh suspek pertama.
"Setelah pemeriksaan dijalankan di rumah suspek kedua, polis merampas sebungkus plastik hitam berisi 113 ketulan mampat heroin kira-kira 42.94 kg," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.
Susulan penangkapan kedua-dua lelaki itu, Sasikala Devi berkata polis menahan seorang lagi lelaki di sebuah rumah di Kupang, Kedah, pada hari yang sama untuk membantu siasatan.
Katanya seorang daripada mereka bekerja sebagai pemandu pekerja kilang manakala dua lagi menganggur dan ketiga-tiga mereka berusia dalam lingkungan 37 hingga 53 tahun.
"Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 16 hingga 22 Feb di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya," katanya.
Sementara itu, Sasikala Devi memaklumkan pihaknya masih menunggu laporan daripada Hospital Selayang berhubung kes tikam yang dilakukan oleh seorang pesakit mental di wad kecemasan, Selasa lepas.
Katanya, polis masih belum menemu bual suspek kerana individu itu dikatakan dalam keadaan yang tidak sesuai untuk ditemu bual.
"Setakat ini, suspek masih ditahan di wad psikiatri di hospital tersebut dan belum ada tangkapan atau pertuduhan dibuat ke atas individu terbabit," katanya.
-- BERNAMA
#rampasan dadah #Polis Selangor #heroin mampat #S Sasikala Devi
;