Polis tumpas sindiket ceroboh sistem pembayaran dalam talian

Bernama
Mei 3, 2016 15:20 MYT
Modus operandi sindiket itu adalah dengan membeli produk menggunakan kad kredit palsu dan menjual semula di laman web yang lain. -Gambar hiasan
Polis menumpaskan satu sindiket yang dipercayai melakukan jenayah pencerobohan sistem pembayaran dalam talian selepas menahan 11 individu di empat negeri, baru-baru ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) SAC Mohd Kamarudin Din Md Din berkata kesemua individu terbabit ditahan di ibu negara, Selangor, Pahang dan Kelantan menerusi 'Op Helang 3/16' yang dilaksanakan bagi mengesan sindiket berkenaan.
"Polis telah melancarkan operasi itu pada 25 April lalu dan dalam tempoh tiga hari kita berjaya menangkap kesemua suspek secara berasingan di empat negeri itu," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Mohd Kamarudin berkata kesemua suspek yang terdiri daripada sembilan lelaki dan dua wanita berusia dalam lingkungan 17 hingga 42 tahun itu kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 5, Akta Jenayah Komputer 1997.
Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, sindiket itu dipercayai bergerak secara aktif di empat lokasi terbabit sejak September tahun lepas dan telah mengaut keuntungan mencecah hampir RM1 juta.
Katanya modus operandi sindiket itu adalah dengan membeli produk yang dijual dalam talian menggunakan kad kredit palsu dan menjual semula produk berkenaan di laman web yang lain dengan harga yang lebih murah.
Mohd Kamarudin berkata sindiket itu menyasarkan syarikat terkenal yang menawarkan produk seperti barangan elektronik, kosmetik, permainan komputer dan makanan segera.
"Mereka akan menggunakan data kad kredit palsu untuk pembayaran produk yang dibeli dan apabila transaksi itu gagal, mereka menggunakan satu aplikasi yang boleh memintas 'backhand coding' yang menunjukkan 'gagal' dan menukarnya kepada 'berjaya'.
"Apabila pembekal menerima maklumat transaksi 'berjaya', mereka seperti biasa akan membuat penghantaran produk kepada pembeli tanpa mengetahui ianya transaksi tidak sah," katanya.
Mohd Kamarudin berkata sindiket terbabit juga menggunakan alamat palsu atau alamat tidak wujud untuk penerimaan produk yang dibeli, di mana apabila wakil kurier gagal ke lokasi tersebut, mereka diminta menyerahkan produk di lokasi lain yang ditentukan anggota sindiket.
Katanya selepas menerima produk itu, anggota sindiket berkenaan seterusnya mengiklankannya di laman web jual/beli yang lain dan media sosial untuk mengaut keuntungan.
Beliau berkata polis turut merampas gajet elektronik seperti komputer dan telefon yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti penipuan itu selain bekalan produk yang telah dibeli daripada syarikat yang menjadi mangsa mereka.
"Kejayaan ini membuktikan polis mempunyai segala kepakaran dan keupayaan untuk menghadapi serta menangani ancaman jenayah terkini yang semakin kompleks," katanya.
#Jenayah Komputer #kad kredit palsu #Op Helang 3/16 #sistem pembayaran dalam talian
;