Polis tumpas kumpulan ah long simbah cat, ugut jenayah
Dewi Nur Harasha Alias
Jun 2, 2022 19:42 MYT
Jun 2, 2022 19:42 MYT
GEORGE TOWN: Polis menumpaskan satu kumpulan ah long yang dikesan terlibat dalam beberapa kejadian khianat dan ugutan jenayah di Pulau Pinang dengan penahanan sembilan lelaki melalui Op Cantas Khas sejak 24 Mei lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata menerusi operasi itu semua suspek berusia antara 22 hingga 36 tahun termasuk ketua sindiket berusia 28 tahun ditahan dalam beberapa serbuan.
Katanya, tujuh daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah, pemberian pinjaman dan kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1966.
"Kumpulan ah long itu turut dikesan terlibat dalam beberapa kejadian menyimbah cat, khianat dengan api dan ugutan jenayah di sekitar negeri ini.
"Turut dirampas dalam serbuan ini adalah beberapa dokumen yang dipercayai melibatkan kegiatan pemberian pinjaman wang tanpa lesen," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Mohd Shuhaily berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan selain Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Shuhaily berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Pulau Pinang membuka 77 kertas siasatan tatatertib terhadap anggota dan pegawai polis negeri itu.
Daripada jumlah itu katanya, kes tertinggi dicatatkan adalah berkaitan salah laku iaitu sebanyak 48 kes yang membabitkan enam pegawai dan 69 anggota.
Tambah beliau, kes lain termasuk jenayah iaitu 12 kes yang melibatkan seorang pegawai dan 31 anggota; 11 kes berkaitan dadah melibatkan 11 anggota, selain enam kesalahan tidak hadir bertugas melibatkan dua pegawai dan empat anggota.
Katanya JIPS Pulau Pinang sentiasa menjalankan siasatan tatatertib yang telus dan adil dalam memastikan tindakan sewajarnya ke atas pegawai dan anggota terlibat.
"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai polis yang melakukan salah laku yang bertentangan dengan undang-undang serta prosedur operasi standard yang telah ditetapkan," katanya.