Polis tumpas kegiatan proses, jual air ketum di Sungai Buloh

Bernama
Oktober 8, 2024 19:30 MYT
Hussein (tengah) bercakap pada sidang media kejayaan pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor menumpaskan kegiatan pemprosesan dan penjualan air ketum di Sungai Buloh. - Foto Bernama
SUNGAI BULOH: Polis menumpaskan kegiatan memproses dan menjual air ketum yang disyaki berselindung di sebalik sebuah syarikat landskap dalam serbuan di sebuah kampung, di sini, Khamis lepas.
Serbuan di dua rumah di sebidang tanah yang disewa syarikat landskap berkenaan pada 12 tengah hari itu turut menahan empat lelaki berusia antara 21 dan 42 tahun termasuk seorang daripadanya dipercayai dalang kegiatan terbabit.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata dua daripadanya merupakan warga tempatan dipercayai pemilik syarikat landskap berkenaan dan penganggur, manakala dua lagi adalah warga asing yang merupakan pekerja syarikat landskap itu.
"Polis merampas 1,100 botol disyaki berisi 550,000 mililiter (ml) air ketum dan 41 karton rokok seludup.
"Siasatan mendapati mereka memperoleh daun ketum daripada pembekal di Perak dan bergerak aktif memproses air ketum sejak 2021, manakala memproses air ketum secara besar-besaran sejak awal tahun ini," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata kumpulan berkenaan mampu memproses dan menjual 500 botol air ketum dalam tempoh dua hingga empat hari dan memperoleh keuntungan kira-kira RM20,000 sebulan hasil daripada kegiatan berkenaan.
Hussein berkata kumpulan itu juga didapati menjual air ketum pada harga berbeza mengikut waktu operasi.
"Mengikut senarai harga yang dijumpai di lokasi serbuan, sebotol air ketum dengan isi padu 500 ml dijual pada harga RM5 pada waktu siang dan RM10 pada waktu malam, urus niaga juga hanya menggunakan wang tunai," katanya.
Beliau berkata keseluruhan rampasan air ketum dan rokok seludup adalah berjumlah RM17,500 dan kesemuanya direman hingga Khamis ini bagi siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.
-- BERNAMA
#proses air ketum #Sungai Buloh #syarikat landskap #Hussein Omar Khan #Polis Selangor
;