Polis tumpas kegiatan proses arak tiruan, rampasan lebih setengah juta ringgit

Bernama
Mei 14, 2024 11:40 MYT
M Kumar berkata, dalam serbuan 1 pagi itu, empat lelaki warga asing tanpa dokumen pengenalan diri, berusia antara 27 hingga 42 tahun, dipercayai pekerja di premis tersebut turut ditahan. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menumpaskan kegiatan memproses dan menyimpan minuman keras tiruan dengan nilai rampasan RM508,265 selepas menyerbu sebuah kilang di Kampung Batu 34, Jalan Johor dekat Pontian semalam.
Ketua Polis Johor, CP M Kumar berkata, dalam serbuan 1 pagi itu, empat lelaki warga asing tanpa dokumen pengenalan diri, berusia antara 27 hingga 42 tahun, dipercayai pekerja di premis tersebut turut ditahan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya menemukan 187 kotak minuman keras dan tiga tong plastik berisi cecair alkohol.
"Serbuan dilakukan Unit Risik Marin (URM) PPM Wilayah Dua Tampoi hasil maklumat orang awam dan intipan selama seminggu.
"Hasil pemeriksaan turut menemukan peralatan memproses dan mengisi minuman keras termasuk empat mesin penutup botol, lima pam elektrik berserta hos, dua bungkus pelekat sebuah jenama minuman keras dan dua kotak penutup botol dengan pelekat 'duty paid' kastam," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, secara keseluruhan, 1,683 liter alkohol dirampas dalam serbuan itu selain sebuah kereta jenis Toyota Estima disita.
Kumar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Memperbaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti penjualan arak tidak bercukai dan pemprosesan minuman keras tiruan.
Masyarakat juga digesa untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis mengenai sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang demi keselamatan dan ketenteraman awam.
- BERNAMA
#arak tiruan #rampasan #Pasukan Polis Marin #unit risik marin
;