Polis tumpas kegiatan e-waste, rampas pelbagai barangan bernilai RM97 juta
Bernama
September 4, 2024 22:33 MYT
September 4, 2024 22:33 MYT
KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan kegiatan memproses sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) secara haram dan merampas pelbagai barangan termasuk logam berharga bernilai RM97 juta dalam serbuan serentak di tujuh kilang haram di Kampung Telok Gong di Pelabuhan Klang pada Isnin lepas.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata serbuan bermula 11 pagi itu mendapati kilang haram berkenaan memproses e-waste seperti 'motherboard' komputer dan telefon bimbit yang dibawa masuk dari luar negara untuk dileraikan dan dijadikan logam berharga seperti emas, tembaga, besi dan timah.
Beliau berkata e-waste itu dipercayai dibawa masuk ke negara ini dengan mengisytiharkan sebagai besi lusuh (iron scrap) yang dibenarkan menurut undang-undang negara.
"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai kesalahan lain termasuk kegagalan mengemukakan dokumen sah untuk menjalankan operasi di kawasan berkenaan.
"Kilang tanpa lesen dan tidak berdaftar ini mengaut keuntungan jutaan ringgit itu juga dikesan menggaji warga asing sebagai pekerja," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Tujuh kilang haram itu dipercayai mempunyai kaitan antara satu sama lain walaupun siasatan mendapati setiap kilang berkenaan dimiliki pemilik berbeza menerusi risikan manakala barangan logam yang telah diproses adalah untuk pasaran tempatan.
Beliau berkata bahan yang dileraikan akan dibakar dan kemudian dicuci dengan air dan bahan kimia yang akhirnya mengalir ke sungai.
Polis turut menahan lima rakyat tempatan dan 31 warga asing berumur lingkungan 25 tahun hingga 60 tahun dalam serbuan yang dilaksanakan dengan JAS dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
"Rakyat tempatan itu dipercayai berperanan sebagai koordinator yang mengambil untung atas aktiviti dijalankan manakala warga asing dipercayai membawa teknologi serta bahan kimia disyaki dari luar negara untuk kegiatan memproses e-waste itu," katanya.
Antara yang dirampas dalam serbuan berkenaan ialah pelbagai jenis tembaga, aluminium dan logam serta mesin 'forklif', telefon bimbit selain pelbagai jenis mesin.
- LAGI
POLIS- ELEKTRONIK 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 22, 25 , 34A dan 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974; Seksyen 6(1) ( c) dan 55B Akta Imigresen 1963; Peraturan 39B Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 101 (1) (V) Akta Kerajaan Tempatan 1976.
JAS dan MBDK turut mengeluarkan notis penutupan dan menyita peralatan dalam premis berkenaan.
"Kesemua tangkapan dan rampasan berkaitan Akta Imigresen telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan," katanya.
-- BERNAMA