Polis tumpas 'Geng Hamdan Cina'

Astro Awani
Mei 2, 2014 19:11 MYT
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong. -Gambar Fail
Polis menumpaskan kumpulan penjenayah yang dikenali sebagai `Geng Hamdan Cina' selepas memberkas lima lelaki termasuk seorang remaja bawah umur dalam beberapa serbuan berasingan di Ipoh baru-baru ini.
Geng Hamdan Cina yang aktif melakukan kegiatan memecah masuk premis termasuk kedai, sekolah, rumah dan kereta itu dipercayai aktif melakukan jenayah tersebut sejak hujung tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, kesemua suspek diberkas antara jam satu pagi hingga lima pagi pada selasa lalu itu berusia antara 17 hingga 26 enam tahun.
Katanya, kesemua mereka itu ditangkap hasil penahanan terhadap seorang lelaki berusia dua puluh tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Silibin.
Dalam tangkapan itu, pihak polis berjaya merampas beberapa barang yang dipercayai hasil curi antaranya dua buah monitor komputer, sebuah unit pemproses pusat (CPU), sebuah mesin pencetak, dua pasang sarung tangan dan pemutar skru.
Katanya hasil siasatan terhadap suspek mendapati mereka terlibat dalam beberapa kes jenayah termasuk tiga kes pecah kedai, tiga kes pecah rumah dan beberapa kes pecah cermin kereta termasuk ragut.
Modus operandi kumpulan ini adalah bergerak berkumpulan menaiki kenderaan dan mencari mana-mana premis yang berpotensi untuk melakukan kegiatan jahat itu.
Katanya kesemua suspek ditahan reman sehingga hari ini dan akan disambung beberapa hari lagi untuk siasatan lanjut.
#Geng Hamdan Cina #kegiatan memecah masuk premis #kumpulan penjenayah #remaja #serbuan #Sum Chang Keong
;