Polis tumpas 'Geng Habib' dalang pemalsuan surat keputusan ujian COVID-19
Astro Awani
Januari 27, 2021 18:34 MYT
Januari 27, 2021 18:34 MYT
PUTRAJAYA: Polis menahan lima lelaki warga Pakistan termasuk dalang sindiket yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pemalsuan surat keputusan ujian COVID-19 dalam beberapa siri serbuan sejak minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Imran Abd Rahman, berkata kegiatan sindiket itu mula dikesan selepas dua warga Pakistan ditahan di KLIA pada 20 Januari lalu.
Katanya, kedua-dua mereka yang ingin pulang ke negara asal didapati mengemukakan surat keputusan ujian COVID-19 palsu yang mengatakan mereka bebas daripada virus berkenaan di sebuah kaunter syarikat penerbangan.
“Kita percaya, mereka tidak mahu menjalani saringan COVID-19. Jadi mereka terdesak lalu membeli surat keputusan ujian palsu untuk pulang ke Pakistan,” katanya pada sidang akhbar di IPD KLIA pada Rabu.
Katanya, siasatan mendapati kumpulan dikenali sebagai 'Geng Habib' itu didalangi warga Pakistan dan hanya menyasarkan rakyat negara itu sebagai pelanggan.
Katanya, siasatan turut mendapati tiada mana-mana klinik atau makmal terlibat dengan sindiket terbabit kerana mereka hanya memalsukan surat keputusan ujian sahaja.
Mengenai tangkapan, beliau berkata susulan tangkapan dua warga Pakistan pada 20 Januari, pihaknya menahan dua lagi suspek senegara di dua lokasi berbeza di Johor Bahru pada 22 Januari.
Katanya, seorang lagi warga Pakistan yang menjadi dalang kemudian ditahan di Bandar Baru Seri Petaling dekat sini pada 25 Januari.
Katanya, selain itu, terdapat dua warga Pakistan ditahan di KLIA ketika cuba menggunakan dokuman yang sama pada 22 Januari, menjadikan keseluruhan tangkapan seramai tujuh orang.
Katanya, polis antara lain merampas lapan telefon bimbit pelbagai jenama, komputer, mesin pencetak, pemacu keras selain wang tunai RM13,500 serta 12 keping surat pengesahan ujian saringan COVID-19 palsu.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 465 dan 471 Kanun Keseksaan.
#geng habib
#warga Pakistan
#surat keputusan
#ujian
#COVID-19
#KLIA
#sindiket pemalsuan
#polis
#Imran Abd Rahman