Polis trafik maut kemalangan, motosikal terbabas ke laluan bertentangan

Adie Sufian Zulkefli
November 15, 2019 10:22 MYT
Adam (kanan) yang bertugas di Cawangan Trafik IPD Kubang Pasu sedang menjalankan tugas operasi ketika kemalangan berlaku. - Astro AWANI
Seorang anggota polis trafik berpangkat konstabel maut selepas motosikal yang ditunggang terbabas ke kanan jalan arah bertentangan dalam kejadian di sini, awal pagi ini.
Mangsa, Adam Che Aziz, 25 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Mohd Ismail Ibrahim berkata, ketika kejadian, mangsa yang bertugas di Cawangan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu sedang menjalankan tugas operasi.
“Sebelum kejadian, mangsa terlibat dalam menjalankan operasi samseng jalanan. Sebaik selesai, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Hosba menghala ke Kampung Darat.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian. motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai terbabas ke arah kanan jalan arah bertentangan.
“Motosikal mangsa kemudian terseret dan merempuh kabel elektrik di tepi jalan sebelum terlanggar tiang lampu di kanan jalan,” katanya.
BACA: 'Kami sangat rapat,' - Adam Besar amat terasa kehilangan rakan sebilik
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk dibedah siasat.
Jenazah kemudiannya dibawa pulang ke kampung halamannya di Machang, Kelantan untuk dikebumikan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Akta Pengangkutan Jalan #cedera parah #Kubang Pasu #machang #mangsa #maut #meninggal dunia #motosikal terbabas #operasi #polis #polis trafik #samseng jalanan
;