Polis trafik kemalangan bertembung dengan treler
Vivi Sumanti
Oktober 11, 2019 14:20 MYT
Oktober 11, 2019 14:20 MYT
Seorang polis trafik berpangkat Lans Koperal mengalami kecederaan di pergelangan kaki kanan, luka di mulut dan patah gigi, selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan treler.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi Khamis di selekoh Kampung Kubang Rambutan, Rantau Panjang, dekat sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Honda CBX750P sedang dalam perjalanan dari Rantau Panjang ke Jeli.
Mangsa, 36 tahun, bertugas Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli.
"Mangsa pada ketika itu dalam perjalanan pulang selepas menjalani kursus Motoked di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
"Namun sebaik tiba di lokasi, motosikalnya terbabas dan melanggar treler dari arah bertentangan," kata Mohamad Roy.
Katanya, akibat kemalangan itu, anggota polis berkenaan mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan dan dihantar ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk rawatan lanjut.
"Bagaimanapun, pemandu treler berusia 38 tahun tidak mengalami kecederaan," katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#kecederaan
#kemalangan
#mangsa
#Mohamad Roy Suhaimi Sarif
#motosikal
#Pasir Mas
#polis
#siasatan
#treler