Polis trafik didenda RM30,000 terima suapan lindungi lori

Bernama
Julai 4, 2023 08:12 MYT
Anggota polis trafik didenda RM30,000 terima suapan lindungi lori. -Twitter @bernamadotcom
MELAKA: Seorang anggota polis trafik didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini selepas mengaku bersalah menerima suapan RM3,600 bagi melindungi sebuah syarikat pengangkutan pada 2017.
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu ke atas Koperal Mohd Hanif Mohamad Zakri, 38, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan dan mahkamah turut mengenakan tambahan lapan bulan penjara sekiranya tertuduh gagal membayar denda.
Tertuduh yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin, didakwa menerima wang berjumlah RM3,600 daripada seorang pengurus syarikat pengangkutan dan dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Islamic Berhad cawangan Ayer Keroh pada 14 Jan hingga 12 Dis 2017.
Mohd Hanif didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat sebelum itu memohon hukuman setimpal dikenakan kerana kes melibatkan rasuah penjawat awam selain menggunakan jawatan untuk mendapatkan wang secara tidak sah ketika bertugas.
Sementara peguam Azrul Zulkifli Stork merayu agar hukuman minimum tanpa penjara dikenakan memandangkan tertuduh perlu menanggung keluarga termasuk ibu yang uzur serta adiknya yang masih belajar di samping hanya bekerja menjual ikan sejak ditahan daripada bertugas.
Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa menerima RM300 setiap bulan bagi melindungi tiga daripada lima lori milik pengurus terbabit yang melalui kawasan Jasin daripada disaman polis trafik.
-- BERNAMA
#Mahkamah Sesyen #Mohd Hanif Mohamad Zakri #anggota polis trafik #Rasuah