Polis, tolong bebaskan Arutchelvan segera - Dr Jeyakumar
Astro Awani
Februari 20, 2015 12:51 MYT
Februari 20, 2015 12:51 MYT
Penahanan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan disifatkan tidak sah dan sekali gus menyalahgunakan Akta Hasutan 1948 yang dicipta untuk menghalang kebebasan berucap dan memberi pendapat.
Ahli Majlis Tertinggi PSM, Dr Jeyakumar Devaraj berkata, polis juga diminta segera membebaskan Arul sekali gus dianggap menggunakan kuasa mereka untuk menghalang sebarang kritikan rakyat kepada pentadbiran Barisan Nasional (BN).
"Tidak perlu mereman Arul semalaman di lokap selain meminta tambahan hari dia ditahan. Semua ahli PSM bersedia memberikan kerjasama dengan polis untuk sebarang isu berkaitan siasatan.
"Bebaskan Arul segera, gugurkan semua dakwaan di bawah Akta hasutan kepadanya," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook PSM di sini hari ini.
Kenyataan media mengenai Arul di laman Facebook PSM - Sumber Facebook PSM
Pada Khamis, Arutchelvan ditahan polis dan dibawa ke Balai Dang Wangi atas dakwaan menghasut kerana mengkritik keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kes liwat dan hukuman penjara ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu kata Jeyakumar, Arul disifatkan boleh ke balai polis dengan sendiri tanpa mengunakan seramai 15 anggota untuk menahannya.
"Seeloknya tenaga 15 anggota polis itu boleh digunakan untuk membanteras jenayah, Arul boleh pergi sendiri ke balai polis tanpa menggunakan cara kasar sebegitu.
"Kita percaya penahanannya kerana kenyataannya terhadap isu Anwar selain berdepan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun," ujarnya.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran terhadap Arutchelvan bersama beberapa tokoh pembangkang lain yang akan disiasat susulan kritikan mereka terhadap keputusan mahkamah terhadap Anwar.
Selain Arutchelvan, Khalid berkata pemimpin itu termasuk Fariz Musa, ketua pergerakan Jingga 13 PKR dan Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin, kedua-duanya didakwa menggesa penyokong Anwar melancarkan demonstrasi jalanan menentang keputusan itu.