Polis tolak permohonan penganjur Himpunan 1 Mei, usulkan lokasi baru

Aizat Sharif
April 21, 2014 18:08 MYT
ACP Zainuddin Ahmad
Polis menolak permohonan pihak penganjur yang mahu mengadakan Himpunan 1 Mei kerana kegagalan penganjur mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan dalam Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.
Himpunan tersebut dijangka akan dilakukan di beberapa lokasi sekitar ibu negara dan menjadikan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) sebagai lokasi himpunan utama sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad berkata permohonan yang dibuat oleh penganjur iaitu Koordinator Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT), S.Arutchelvan pada 18 April berhubung rancangan Himpunan 1 Mei gagal menyertakan kebenaran daripada pemilik lokasi.
"Permohonan yang dibuat pada minggu lepas itu tidak disertakan kebenaran dari pengurusan KLCC dan juga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur," kata Zainuddin ketika dihubungi Astro AWANI.
Tanpa kebenaran daripada pemilik lokasi tersebut, polis terpaksa menolak permohonan yang dikemukakan itu.
Dalam pada itu, perbincangan yang dilakukan dengan beberapa wakil Pakatan Rakyat iaitu Naib Presiden PKR, Tian Chua, Timbalan Presiden PAS dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS pusat, Dr Hatta Ramli telah mengusulkan cadangan supaya pihak penganjur dapat mengubah lokasi himpunan yang dirancang itu.
"Dataran Merdeka sedang menjalani kerja-kerja baik pulih dari segi rumput padang tersebut dan ianya sedang ditutup sehingga Julai. Namun begitu, kita telah mencadangkan kepada mereka supaya menggunakan Stadium Merdeka dan dalam hal ini, penganjur masih perlu mendapatkan kebenaran daripada pemilik atau pihak pengurusan stadium," katanya lagi.
Selain itu juga, terdapat banyak lokasi alternatif yang boleh digunakan oleh pihak penganjur dan mereka boleh berbincang dengan pihak DBKL berkenaan perkara tersebut.
#DBKL #Himpunan 1Mei #jerit #polis
;