Polis tolak dakwaan Sungai Sireh tempat buang mayat

Aizat Sharif
Februari 4, 2013 14:21 MYT
Polis menolak dakwaan yang mengatakan bahawa Sungai Sireh di Pelabuhan Klang adalah tempat pembuangan mayat berikutan dakwaan beberapa nelayan di situ yang pernah menemui cebisan mayat di sekitar kawasan itu beberapa tahun belakangan ini.
Dua nelayan, Satarudin Kamal, 45 dan rakannya Yusof Osman, 53 yang menemui mayat seorang budak lelaki, William Yau Zheng Zhong yang dilaporkan hilang pada 16 Januari lalu di Putra Height sebelum ini mendakwa menemui sekurang-kurangnya 16 mayat sepanjang 10 tahun lalu dan lapan daripadanya telah ditemui sepanjang tahun lalu sahaja.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi Astro Awani menafikan dakwaan itu dan Sungai Sireh bukanlah seburuk yang disangka.
“Dakwaan tersebut amatlah tidak benar. Mayat yang ditemui disitu sebenarnya datang dari pelbagai kawasan sepanjang Sungai Sireh,” kata Mohamad.
Sepanjang memegang jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Klang Selatan beberapa tahun lalu, Mohamad berkata hanya terdapat satu atau dua kes penemuan mayat di sekitar lembangan Sungai Sireh dan bukanlah sebanyak seperti yang didakwa.
“Kawasan ini merupakan kawasan berlumpur dan dikelilingi oleh paya bakau. Kebanyakkan mayat yang ditemui terapung akan selalunya tersangkut di pokok-pokok kayu bakau ketika air surut,” beliau berkata.
Beliau menambah Sungai Sireh terletak di bawah pentadbiran polis daerah Klang Selatan dan bersempadan dengan Klang Utara.
“Kebanyakkan mayat yang ditemui itu dijumpai secara bertaburan sepanjang sungai itu dan sesetengah dari mereka dipercayai telah hanyut sejauh dari bandaraya Shah Alam. Mayat-mayat itu pula jika tidak tersangkut pada perangkap sampah akan hanyut dan terapung sehingga ke laut di sekitar Pelabuhan Klang,” kata beliau.
Meskipun mayat-mayat tersebut ditemui samada di kawasan Klang Selatan atau Klang Utara, ianya akan pasti dibawa ke jeti nelayan di Sungai Sireh kerana tiadanya kemudahan jeti di daerah Klang Utara.
“Ketiadaan kemudahan jeti nelayan di daerah Klang Utara telah menyebabkan kebanyakkan yang ditemui di Sungai Sireh dan kawasan-kawasan berhampiran didaratkan ke jeti nelayan di Sungai Sireh,” katanya lagi.
Tambah beliau, mayat yang ditemui itu kebanyakkannya berpunca dari mati lemas dan adalah sukar unutuk mengatakan mereka dibunuh dan dicampak ke dalam sungai itu.
#Klang Selatan #mayat #polis #Sungai Sireh
;