KUALA LUMPUR: Polis Daerah Dang Wangi akan mempertingkat kawalan dan anggota di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bagi mengawal kelancaran proses vaksinasi mega di lokasi berkenaan, bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata seramai 10 pasukan terdiri daripada 10 pegawai dan 70 anggota akan ditempatkan khususnya bagi mengawal pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, setakat ini proses pemberian vaksin mega di PPV tersebut masih terkawal, dan pihaknya akan menambah bilangan keanggotaan jika perlu.

"Saya telah mengarahkan semua pegawai dan anggota untuk sentiasa memberi peringatan dengan menggunakan pembesar suara supaya semua yang hadir mendapatkan suntikan vaksin pada hari ini dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan menjaga penjarakan fizikal.

"Justeru itu, pasukan saya akan sentiasa memberi peringatan dari semasa ke semasa dengan menggunakan pembesar suara bagi memastikan tidak ada kumpulan ramai, melanggar SOP serta mereka sentiasa berada paling kurang satu meter antara satu sama lain," katanya kepada Astro AWANI selepas membuat tinjauan di PPV WTCKL, di sini.

BACA: Vaksin: WTC Kuala Lumpur jadi 'test case' PPV berskala besar - Khairy


Mengulas lanjut, Zainal berkata pihaknya akan memastikan hanya individu yang membuat janji temu dan tidak berisiko dibenarkan berada di PPV tersebut.

Tembah beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar SOP termasuk cubaan merentas daerah dan negeri tanpa alasan munasabah.

"Jadi saya menasihatkan semua orang ramai, tidak ada walk-in di sini atau mereka datang mengejut bagi mendapatkan suntikan vaksin.

"Sebanyak 13 sekatan jalan raya (SJR) dijalankan di mana sembilan di Kuala Lumpur, manakala empat lagi di Putrajaya.

"Semua  mereka ada janji temu tidak ada masalah untuk mereka hadir ke WTCKL. Cuma cukup dengan memaparkan aplikasi MySejahtera untuk petugas-petugas di SJR melepaskan mereka hadir ke PPV ini," ujarnya.