Polis tingkat penguatkuasaan di pintu sempadan elak seludup mercun
Bernama
April 7, 2022 05:15 MYT
April 7, 2022 05:15 MYT
BALING: Penguatkuasaan di pintu masuk sempadan negara di Bukit Kayu Hitam akan ditingkatkan bagi mengekang penyeludupan mercun dan bunga api khususnya menjelang sambutan Aidilfitri akan datang.
Ketua Polis Kedah Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata pada masa ini hanya terdapat beberapa syarikat yang telah memohon untuk menjadi pengedar berlesen bagi membawa masuk bunga api melalui pintu sempadan itu.
"Ada dua atau tiga syarikat yang telah memohon menjadi pengedar berlesen tapi yang mana tidak berlesen, menyeludup, kita memang tegaskan akan buat pemeriksaan dan tangkapan.
"Penjualan secara haram tidak dibenarkan, terutamanya mercun yang membahayakan serta boleh menyebabkan berlakunya kemalangan seperti putus jari dan tangan, itu tidak dibenarkan untuk dijual," katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa warga Polis Diraja Malaysia Kedah Zon Selatan di sini.
Katanya hanya peniaga berlesen sahaja yang dibenarkan untuk mengimport bunga api malah beberapa hari lalu sudah ada tangkapan yang dibuat membabitkan cubaan menyeludup masuk bahan itu.
Wan Hassan menasihatkan mana-mana pihak yang ingin membawa masuk bunga api yang dibenarkan dari negara jiran sempena musim perayaan ini untuk mengemukakan permohonan agar perniagaan mereka dijalankan secara sah.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sejak pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam dibuka pada awal bulan ini terdapat peningkatan bilangan kenderaan yang keluar dan masuk melalui pintu sempadan itu.
"Selepas lima ke enam hari sempadan dibuka, ada kenderaan keluar masuk tetapi tidak banyak, lebih kurang 100 kenderaan yang keluar masuk dalam sehari. Ini mungkin disebabkan beberapa SOP (prosedur operasi standard) yang tidak jelas seperti keperluan melakukan ujian RT-PCR (tindak balas rantai polimerase transkripsi balikan), membeli insurans dan sebagainya," katanya.
Wan Hassan berkata walaupun jumlah kenderaan masih belum banyak pemeriksaan masih dijalankan seperti biasa termasuk mengadakan sekatan jalan raya 24 jam di pintu masuk berkenaan.
"Kita memang sentiasa bersedia, pasukan rondaan termasuklah anggota narkotik dan jenayah, sentiasa melakukan rondaan dan pemantauan," katanya.
-- BERNAMA