Polis tidak pernah terima laporan Zulfarhan dibuli - Abdul Samah
Astro Awani
Jun 5, 2017 17:05 MYT
Jun 5, 2017 17:05 MYT
Polis mengesahkan tidak pernah menerima laporan daripada mana-mana pihak yang mendakwa pegawai kadet laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang meninggal dunia minggu lepas pernah dibuli.
Ketua Polis Selangor Datuk Seri Abdul Samah Mat berkata, pihaknya hanya menerima laporan kematian Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, selepas mangsa meninggal dunia di Hospital Serdang Khamis lepas.
"Setakat ini, kita tiada terima laporan kes buli. Tetapi, kalau ada (kejadian buli), minta pihak berkenaan tampil buat laporan bagi membolehkan pihak polis menyiasat.
"Mungkin pihak universiti sendiri akan mengambil tindakan dalaman. Itu terpulang kepada mereka. Tetapi kes yang dilaporkan pada polis, setakat ini, ini yang pertama,” katanya kepada media hari ini selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pemakaian Pangkat Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini.
Katanya, polis juga tidak menerima laporan mengenai kehilangan komputer riba yang dipercayai menjadi punca mangsa didera.
Sebelum ini, seorang penuntut dilaporkan memberitahu keluarga mangsa bahawa Zulfarhan dipukul beramai-ramai selepas mendakwa seorang bomoh memetik namanya sebagai dalang kes curi berkenaan.
"Pihak polis tidak ada sebut bomoh-bomoh. Macam saya kata tadi, siapa-siapa yang kita fikirkan ada kaitan dan boleh membantu siasatan, kita akan panggil. Dan kita sedang melaksanakannya, yang telah dipanggil dan yang akan dipanggil.
“Dia dituduh oleh rakan-rakan mencuri komputer riba milik salah seorang dari pelajar itu. Jadi, ini puncanya," katanya.
Dalam kejadian itu, Zulfarhan yang juga pegawai kadet laut tahun tiga UPNM meninggal dunia di Hospital Serdang dengan kesan melecur di dada, tangan dan kaki, dipercayai ditekap seterika wap.
Kematiannya disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan susulan kejadian itu, 32 penuntut UPNM dan empat penuntut Universiti Tenaga Nasional (Uniten) direman bagi membantu siasatan.
Reman mereka akan berakhir Jumaat ini.