Polis tidak pernah henti siasat kes simbah asid Faisal Halim - KPN

Umavathi Ramayah
November 23, 2024 12:40 MYT
Pada 5 Mei lalu, Faisal dilaporkan cedera selepas disimbah asid dipercayai dilakukan dua individu bermotosikal di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya kira-kira jam 5 petang. - Gambar/ FB Faisal Halim
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan polis tidak pernah menghentikan siasatan kes simbah asid membabitkan pemain Selangor FC, Faisal Halim di sebuah pusat belah-belah di Kota Damansara, dekat sini Mei lalu.
Beliau berkata, setakat ini polis sudah mengambil keterangan 23 individu serta menahan tiga suspek bagi membantu siasatan.
Menurutnya, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman membuat siasatan secara terperinci namun tiada bukti dapat mengaitkan ketiga-tiga suspek dengan kejadian berkenaan.
“Malah hasil analisis forensik terhadap telefon ketiga-tiga suspek juga mendapati tiada bukti atau perbualan yang mengaitkan mereka dalam kes itu.
“Pada masa sama, JSJ juga ada melakukan pemeriksaan terhadap akaun-akaun bank suspek tetapi tiada sebarang transaksi wang meragukan atau upah bayaran ditemukan,” katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Razarudin memberitahu, pemeriksaan terhadap nombor plat motosikal digunakan suspek ketika kejadian juga didapati palsu.
“Berdasarkan hasil siasatan, kita ada mengeluarkan fotofit suspek bagi mendapatkan bantuan dan maklumat daripada orang ramai.
“Walaupun pelbagai usaha dibuat pihak polis, kita tidak pernah menghentikan siasatan dan menunggu sekiranya terdapat maklumat baharu bagi kes ini,” jelasnya.
Justeru beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat boleh tampil dan menyalurkan ke pihak polis.
Pada Jumaat, media melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Najwan Halimi memberitahu kerajaan Selangor masih menunggu laporan siasatan kes itu.
Najwan dilapor berkata, Speaker DUN Selangor sudah menulis surat kepada pihak polis memaklumkan usul yang dipersetujui secara konsesus pada sidang DUN terdahulu Julai lalu.
Dalam surat itu, DUN Selangor meminta siasatan menyeluruh dibuat dan laporan hasil siasatan berkenaan didedahkan kepada umum.
Namun sehingga kini, Najwan berkata, kerajaan negeri masih belum menerima sebarang maklum balas mengenai siasatan kes berkenaan.
Pada 5 Mei lalu, Faisal dilaporkan cedera selepas disimbah asid dipercayai dilakukan dua individu bermotosikal di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya kira-kira jam 5 petang.
Susulan itu, tonggak utama Selangor FC berkenaan disahkan mengalami kecederaan melecur tahap empat di beberapa bahagian tubuhnya dan menerima rawatan di hospital.
#Faisal Halim #status siasatan #Ketua Polis Negara #DUN Selangor
;