Polis tidak pernah edar 'Senarai Nama Anggota Ketua Kongsi Gelap di Malaysia'
Astro Awani
Julai 29, 2016 22:17 MYT
Julai 29, 2016 22:17 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan tidak pernah mengedarkan sebarang siaran media bertajuk 'Senarai nama anggota ketua kongsi gelap di Malaysia (Op Cantas 2016)' seperti yang tersebar.
Menurut jurucakap Komunikasi Korporat, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Superintendan N. Venugopal, siaran media itu adalah palsu.
"PDRM tidak pernah membuat sebarang makluman umum mengenai senarai sasaran mana-mana operasi yang hendak dijalankan.
"Tindakan tidak bertanggungjawab ini jelas dilakukan oleh pihak yang cuba menimbulkan kegelisahan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru orang ramai dinasihatkan tidak mudah mempercayai dan menyebarkan sebarang maklumat daripada sumber yang meragukan.
Siaran media palsu itu dikesan mula tersebar di media sosial dan aplikasi perbualan dengan menyenaraikan seramai 12 nama kononnya ketua kongsi gelap di seluruh Malaysia.
#kongsi gelap
#Ops Cantas 2016
#PDRM
#polis
#Senarai Nama Anggota Ketua Kongsi Gelap di Malaysia
#Superintendan N. Venugopal