Polis tidak lulus perhimpunan Bantah 505 di Perak

Bernama
Mei 12, 2013 03:20 MYT
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata polis tidak meluluskan permohonan bagi Perhimpunan Bantah 505 peringkat negeri Perak kerana tidak menepati syarat-syarat di bawah Akta Perhimpunan Awam.
Beliau berkata penganjur perhimpunan itu sepatutnya membuat permohonan kepada Ketua Polis Daerah Ipoh dalam tempoh 10 hari sebelum tarikh perhimpunan.
"Jika Penganjur terus mengadakan perhimpunan maka itu akan jadi satu perhimpunan haram," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Shukri menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut di Medan Istana di sini.
Beliau berkata sehingga petang ini polis menerima 65 laporan daripada pelbagai pihak yang membantah penganjuran perhimpunan itu.
#Datuk Mohd Shukri Dahlan #Perak #Perhimpunan Bantah 505