Polis tidak ikut Akta Perhimpunan Aman -- Suhakam

Astro Awani
April 17, 2013 19:59 MYT
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) merumuskan tindakan pasukan polis semasa mengendalikan perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April tahun lalu sebagai keterlaluan dan bertentangan dengan Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.
Ia juga mendapati pihak polis telah melanggar beberapa hak asasi manusia yang lain termasuk soal-soal berhubungan penahanan peserta perhimpunan, kebebasan media dan kebebasan bersuara.
“Hasil penemuan dalam siasatan ini adalah berdasarkan keterangan saksi dan bukti termasuk dokumen, gambar, rakaman video, keratan akhbar, laporan perubatan dan laporan polis,” kata Pengerusi Panel Inkuiri Datuk Dr Khaw Lake Tee semasa membacakan laporan ikuiri.
Rumusan itu hasil siasatan awam Suhakam terhadap insiden tersebut yang keputusannya diumumkan hari ini.
Panel yang diketuai oleh Dr. Khaw itu bagaimanapun membuat pemerhatian bahawa akta berkenaan baru berkuatkuasa lima hari sebelum insiden dan ia adalah perhimpunan awam pertama yang diadakan selepas akta berkenaan berkuatkuasa.
"Adalah terlalu awal bagi pihak PDRM mengambilkira sepenuhnya APA 2012 dalam pengoperasian dan pengendalian peserta perhimpunan," kata laporan Suhakam itu.
Sebagai perbandingan, Suhakam memuji kejayaan pihak polis mengendali dan menguruskan Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 12 Januari lalu.
Dalam laporan ringkasnya, panel tiga anggota itu antara lain mendapati bahawa polis tidak membantu atau memudahkan peserta perhimpunan untuk bersurai seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 8 akta berkenaan.
Ia juga mendapati peserta perhimpunan Bersih 3.0 telah tidak diberikan masa yang mencukupi dan munasabah untuk bersurai dalam keadaan yang teratur dan selamat.
"Sebaliknya, amaran bersurai hanya diberikan sebelum tembakan meriam air dan gas pemedih mata yang pertama dan tidak dilakukan selepas itu. Tembakan meriam air dan gas pemedih mata yang berterusan turut menjejaskan usaha peserta untuk bersurai," kata Dr. Khaw.
Panel juga mendapati berlaku kekerasan yang tidak seimbang dan insiden salah laku oleh kakitangan polis ke atas peserta yang ditahan manakala mereka yang ditahan pula tidak dimaklumkan sebab-sebab penahanan.
Antara rumusan lain panel itu termasuk:
Panel itu juga menyifatkan protes oleh kumpulan bekas tentera di luar kediaman Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreevenasan telah menafikan hak privasi, kebebasan peribadi dan keselamatan beliau serta jiran-jirannya.
Panel itu tidak menafikan hak kumpulan itu untuk bersuara dan berhimpun tetapi berpendapat ia harus dijalankan mengikut undang-undang dan pihak berkuasa telah bersikap berat sebelah dan tidak bersungguh-sungguh dalam menguatkuasakan undang-undang.
Suhakam juga merasakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sepatutnya memainkan peranan yang lebih besar dalam memudahkan lalu lintas dengan membuka lebih banyak jalan di dalam dan di sekitar Kuala Lumpur pada hari tersebut.
Ia juga merumuskan penutupan beberapa stesen Transit Aliran Ringan (LRT) antara pukul 3 hingga 5..30 petang telah menyukarkan peserta bersurai secara aman dan teratur.
Syor Suhakam
Hasil siasatan itu, panel tiga anggota berkenaan menggariskan beberapa syor untuk pertimbangan pihak berkuasa dan media, antaranya:
Dalam pada itu, Dr. Khaw mengingatkan bahawa skop siasatan awam tersebut adalah terhad kepada isu-isu pelanggaran hak asasi manusia semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April itu dan ia tidak menyiasat hal-hal lain termasuk sebab-sebab perhimpunan
Beliau juga memaklumkan laporan hasil siasatan awam itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk penambahbaikan bagi memastikan pasukan polis memperbaiki operasinya dan mematuhi hak asasi manusia dalam menghadapi perhimpunan seumpama itu pada masa akan datang.
Pada masa sama, beliau berharap orang ramai melaksanakan hak mereka dengan penuh bertanggungjawab dan menghormati undang-undang.
"Orang ramai perlu menerima hakikat bahawa polis juga ada peranannya untuk mempertahankan keamanan dan ketenteraman.
"Ertinya, orang ramai boleh menggunakan hak kebebasan untuk bersuara dan berhimpun tetapi ia mesti dilakukan dengan keseimbangan (menghormati undang-undang)," katanya.
Dr. Khaw mengetuai siasatan itu dengan dibantu oleh pesuruhjaya Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi dan Datuk Detta Samen.
Siasatan itu dijalankan antara 5 Julai 2012 hingga 10 Januari 2013. Dalam tempoh lebih kurang enam bulan itu, ia mendengar keterangan daripada 49 saksi yang terdiri daripada orang awam, kakitangan media, kakitan polis dan profesional, serta menerima 67 eksibit dan dokumen.
#akta perhimpunan aman #Bersih #hak asasi #Suhakam
;