Polis tidak akan sekat kebebasan Yazid Sufaat - KPN
Aida Aziz
Oktober 23, 2019 13:49 MYT
Oktober 23, 2019 13:49 MYT
Polis tidak akan menyekat kebebasan Yazid Sufaat, anggota militan warga Malaysia yang mempunyai kaitan dengan serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat sekiranya dia dibebaskan dari tahanan bulan depan.
Bagaimanapun menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pihaknya akan terus berhubung dengan Yazid dan memantau sebarang aktiviti yang menjurus kepada pegangan asalnya.
"Itu adalah proses undang-undang, dia telah menjalani proses hukuman dan apabila tiba waktunya dia dibebaskan... dia akan dibebaskan dan kita tak bolehlah mengambil tindakan untuk menyekat kebebasannya.
"Kita akan terus enggaged dengan beliau, kita tidak akan putus hubungan dan terus pantau, teruskan usaha untuk pemulihan, kita lihat perkembangan seterusnya apabila beliau dibebaskan nanti sekiranya beliau memilih untuk kembali kepada pegangan asalnya itu.
"Kita tidak dapat mengelaklah untuk ambil tindakan sekali lagi ke atas beliau, pihak saya akan berusaha untuk memulihkannya, kami tak putus asa," katanya lagi.
Abdul Hamid berkata demikian sebagai mengulas laporan mengatakan kemungkinan Yazid akan dibebaskan bulan depan.
Tambahnya, beliau faham dengan kebimbangan orang ramai jika Yazid dibebaskan kelak, kerana kemampuan yang dimilikinya dalam aktiviti keganasan sebelum ini.
"InsyaAllah saya akan ambil tindakan yang maksimum untuk memastikan ia tidak berlaku ke arah yang tidak baik," katanya.
Yazid, 55, ahli biokimia yang mendapat latihan di Amerika Syarikat ditahan di penjara Simpang Renggam, Johor selama dua tahun di bawah Akta Pencegahan Keganasan.
Sebelum ini media melaporkan tempoh tahanan beliau akan tamat bulan depan.
Yazid ditahan tiga kali dalam tempoh 17 tahun kerana kegiatan berkaitan keganasan termasuk cuba menghasilkan senjata pemusnah besar-besaran untuk al-Qaeda.