Polis Thailand tahan suspek dalang penipuan pekerjaan
Bernama
Oktober 31, 2022 22:31 MYT
Oktober 31, 2022 22:31 MYT
BANGKOK: Polis Thailand menahan suspek dalang sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar dan sedang meningkatkan gerakan memburu suspek lain termasuk warga Malaysia.
Pesuruhjaya Biro Siasatan Pusat Leftenan Jeneral Jirabhop Bhuridej berkata ahli perniagaan berusia 33 tahun dari China itu dipercayai dalang sindiket yang memikat pencari kerja terutama warga Thailand untuk bekerja di bandar sempadan Myawaddy, Myanmar.
Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket itu memikat pencari kerja dengan menjanjikan pekerjaan bergaji tinggi di Mae Sot di wilayah Tak tetapi sebaliknya memaksa mereka menyeberang sempadan ke Myawaddy di Myanmar untuk bekerja sebagai penipu.
Dia ditahan di Bangkok pada Ahad.
"Polis Thailand memulakan siasatan tahun lepas. Kami mengeluarkan waran tangkap ke atas 19 individu termasuk 11 warga Thailand, China (tiga), Myanmar (tiga), seorang warga Malaysia dan Filipina.
"Setakat ini, kami menahan tujuh warga Thailand dan seorang warga China (dalang)," katanya.
Sementara itu, Penguasa Bahagian Antipemerdagangan Orang Kolonel Man Menyam berkata polis memulakan siasatan selepas tujuh warga Thailand yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan diselamatkan di Mae Sot.
Beliau berkata mangsa termasuk lima wanita terpikat untuk bekerja di Myawaddy dan mereka dihukum serta dipukul apabila gagal mencapai sasaran yang ditetapkan oleh penyelia mereka, warga Malaysia dan Filipina.
"Mangsa selamat pulang ke rumah selepas ahli keluarga membayar wang tebusan sebanyak 50,000 baht setiap seorang," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata mangsa kemudiannya membuat laporan di Bahagian Antipemerdagangan Orang.
-- BERNAMA
#polis thailand
#Leftenan Jeneral Jirabhop Bhuridej
#Penguasa Bahagian Antipemerdagangan Orang
#mangsa penipuan pekerjaan