Polis Thailand jumpa dua mayat dipercayai mangsa lemas pantai Tok Bali

Muhafandi Muhamad
Disember 31, 2016 16:00 MYT
Dua remaja terbabit masing-masing dari Selising, Pasir Puteh, dikhuatiri lemas ketika sedang mandi di Pantai Tok Bali Ahad lalu. - Foto APMM
Polis Thailand menjumpai dua mayat remaja lelaki yang dipercayai dua pelajar yang hilang hampir seminggu selepas dibawa arus ketika bermandi-manda di Pantai Tok Bali, Pasir Puteh pada Ahad lalu.
Mayat ditemui di Pantai Tak Bai, Narathiwat Thailand.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr. Ab. Rahman Ismail berkata, setakat ini tanda-tanda identiti kedua-dua mangsa sudah dikenal pasti dan proses pengecaman akan dibuat kedua-dua keluarga masing-masing yang dalam perjalanan ke sana.
Mayat dipercayai mangsa pertama, Amir Azfar Rafa,13, dijumpai terdampar oleh penduduk kampung di pantai berkenaan kira-kira pukul 9.30 malam tadi.
Sementara mayat kedua, dipercayai Ahmad Haziem Anizam, 14, dijumpai pagi tadi.
"Mayat kedua ditemukan pada 10.30 pagi tadi di pantai yang sama, jarak di antara kedua-dua mayat adalah lima kilometer.
"Kedua-dua mayat itu dipercayai mangsa yang terlibat dalam kejadian lemas Ahad lepas berdasarkan pakaian yang masih terlekat pada badan mangsa," katanya pada sidang akhbar di Kelab Golf and Country Kelantan di sini, hari ini.
Jarak antara Pantai Tok Bali dengan Pantai Tak Bai kira-kira 90 kilometer.
Kedua-dua mayat kemudian dibawa ke Hospital Narathiwat, Thailand untuk proses pengecaman kedua-dua keluarga yang terlibat.
Dalam kejadian pukul 4.13 petang Ahad lepas, dua remaja terbabit masing-masing dari Selising, Pasir Puteh, dikhuatiri lemas ketika sedang mandi di Pantai Tok Bali.
Dua rakan mereka Muhammad Firdaus Mustafa, 16, dari Kampung Taweh, Gaal, dan Amir Shahir Zakima, 13, dari Kampung Nering Pasir Puteh, sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai.
#Ahmad Haziem Anizam #Amir Azfar Rafa #Dr. Ab. Rahman Ismail #Ketua Polis Kelantan #Lemas Tok Bali #Narathiwat #Pantai Tak Bai #Thailand
;