Polis terpaksa lepas tembakan ketika kejar kenderaan mencurigakan

Bernama
Januari 28, 2019 22:35 MYT
Suspek kemudian keluar dari kereta dan cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh anggota polis berkenaan. - Gambar hiasan
Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang dinaiki seorang lelaki tempatan semasa mengejar kenderaan itu, bermula dari Jalan Kuching menuju ke arah Bukit Kiara dekat sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP S. Shanmugamoorthy Chinniah berkata polis mula mengejar kenderaan itu kira-kira 4.20 petang selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
"Pasukan kereta peronda polis (MPV) yang membuat rondaan telah mengarahkan suspek berhenti untuk membuat pemeriksaan namun pemandunya enggan dan terus memecut laju kenderaan berkenaan.
"Polis kemudian mengejar suspek, tetapi suspek terus memandu laju secara berbahaya dan beberapa kali cuba menghimpit MPV serta membaling objek dipercayai cutter (pisau) apabila tiba di terowong Bukit Kiara," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kereta suspek, yang menyebabkan kereta suspek terlanggar pembahagi jalan dan berhenti.
Katanya suspek kemudian keluar dari kereta dan cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh anggota polis berkenaan.
Shanmugamoorthy berkata susulan pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui ketulan kristal disyaki dadah jenis eramin 5, dan pemeriksaan ke atas kenderaan itu mendapati satu abjad nombor pendaftaran pada bahagian hadapan depan ditutup dengan pita hitam.
Beliau berkata semakan awal turut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.
Suspek berusia lewat 30-an itu mengalami kecederaan ringan pada bahagian muka dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA
#Dadah #Jalan Kuching #jenayah #Kuala Lumpur #PDRM #polis #tembakan
;