Polis terlibat kemalangan sebabkan kematian remaja ditahan

Sinar Harian
April 12, 2024 12:15 MYT
Insiden berlaku selepas motosikal ditunggang mangsa dikatakan bertembung sebuah pacuan empat roda polis yang melakukan rondaan mencegah lumba haram dalam kejadian awal pagi 1 Syawal. - Foto fail
MELAKA: Anggota polis yang terlibat kemalangan sehingga menyebabkan kematian seorang remaja di Jalan Gangsa-Kesang Durian Tunggal, di sini awal pagi 1 Syawal lalu ditahan pada Jumaat.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainul Samah berkata, anggota berpangkat koperal berusia 37 tahun itu ditahan pada jam 9 pagi di Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.
"Sehingga kini, rakaman percakapan masih dijalankan dan sekiranya suspek gagal beri kerjasama, barulah kita akan memohon perintah reman untuk tindakan lanjut.
"Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap anggota berkenaan mendapati, dia bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, ketika kejadian, anggota terbabit yang bertugas di Unit Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Durian Tunggal telah memandu kenderaan pacuan empat roda polis sendirian.
Ujarnya, ketika itu suspek dalam keadaan bersiap sedia dan beberapa anggota lain tiba di lokasi selepas berlakunya nahas.
"Anggota itu juga tidak memakai uniform polis ketika kejadian dan kes diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu sehingga menyebabkan kematian.
"Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda tak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000," katanya.
Beliau berkata, setakat ini enam laporan polis berkaitan insiden berkenaan telah diterima dan tiga rakaman percakapan daripada saksi serta ahli keluarga mangsa telah diambil.
Jelasnya, polis akan memastikan siasatan secara telus dan profesional dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.
Sebelum ini media melaporkan, dalam kemalangan pada jam 2.56 pagi Rabu lalu, mangsa, Mohammad Khairul Basahri, 18, yang cedera parah dilaporkan meninggal dunia pada pukul 12.37 pagi Khamis selepas lebih 21 jam dirawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.
Insiden berlaku selepas motosikal ditunggang mangsa dikatakan bertembung sebuah pacuan empat roda polis yang melakukan rondaan mencegah lumba haram dalam kejadian awal pagi 1 Syawal.
Beberapa rakaman klip video berkaitan kejadian itu turut tular termasuk sebuah video yang memaparkan beberapa individu memarahi seorang lelaki dipercayai anggota polis yang terbabit dalam kejadian itu. - Sinar Harian
#Nahas #anggota polis #remaja #Zainul Samah
;