Polis terlibat dadah, rasuah ditahan kerja walaupun belum didakwa

Bernama
Oktober 9, 2023 17:30 MYT
Datuk Khaw Kok Chin berkata ia merupakan arahan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin semasa Mesyuarat Ketua Polis Negara pada 5 Okt lepas. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam salah laku dan isu integriti seperti rasuah dan dadah akan ditahan kerja walaupun belum dituduh di mahkamah.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata ia merupakan arahan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin semasa Mesyuarat Ketua Polis Negara pada 5 Okt lepas.
"Tan Sri IGP (KPN) (Razarudin) dan Datuk Seri Timbalan Ketua Polis Negara (Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay) memaklumkan tidak akan bertolak ansur terhadap pegawai kanan dan anggota polis yang terlibat dalam salah laku seperti kejadian jenayah dan dadah.
"Memandangkan isu integriti, salah guna kuasa dan rasuah dalam kalangan pegawai dan anggota polis masih lagi berleluasa, kepimpinan tertinggi PDRM telah bersetuju untuk mana-mana pegawai yang terlibat dengan integriti seperti rasuah dan dadah akan ditahan kerja walaupun kes belum dituduh," katanya semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan Kontinjen Pulau Pinang dan Amanat Ketua Polis Pulau Pinang Bagi Bulan Oktober, di sini hari ini.
Beliau berkata kesemua pegawai polis yang memegang jawatan sebagai penyelia bermula daripada pucuk pimpinan hingga ke bawah, akan dipertanggungjawabkan sekiranya gagal untuk melaksanakan Peraturan C iaitu Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Kelakuan Tatatertib 1993.
Khaw berkata semua pihak dalam kontinjen Pulau Pinang juga perlu konsisten, berani dan tegas dalam menguatkuasakan peraturan 3C bagi memastikan dapat membuat perubahan yang berkesan ke atas isu integriti dan salah laku dalam PDRM.
Sementara itu, beliau berkata negara berada dalam fasa peralihan monsun yang akan membawa hujan lebat dan pasukan PDRM hendaklah membuat persediaan sekiranya berlaku bencana banjir.
"Oleh itu, semua Ketua Polis Daerah, Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam dan Ketua Polis Balai perlu mengenal pasti setiap keperluan dan menentukan kawasan hotspot yang terlibat dengan banjir.
"Mereka juga hendaklah membuat persiapan awal dari segi kekuatan anggota, kelengkapan aset logistik seperti bot, peralatan menyelamat dan juga pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya.
-- BERNAMA
#PDRM #Rasuah #gantung tugas #Khaw Kok Chin
;