Polis terima surat tertera perkataan 'IS Ancam' ditujukan kepada pemimpin negara

Astro Awani
Ogos 2, 2016 19:06 MYT
Gambar terbabit turut memaparkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Gambar fail
Polis hari ini mengesahkan menerima surat ancaman dengan perkataan 'IS Ancam' yang ditujukan terhadap pemimpin negara dan beberapa pegawai atasan kerajaan.
Surat ancaman itu dialamatkan kepada Ketua Polis Balai Nilai kira-kira 1 tengah hari semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Nilai Supt Zaldino Zaludin, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti pengirim surat tersebut.
"Sememangnya kami telah terima semalam jam 1 tengah hari dan sedang siasat dari mana datangnya," katanya kepada Bernama hari ini.
Surat terbabit mengandungi dua helai kertas putih dengan muka surat pertama tertulis 'IS Ancam' bersama sembilan gambar individu merupakan pemimpin negara dan pemimpin Myanmar.
Gambar terbabit memaparkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Penasihat Negara Myanmar Aung San Suu Kyi.
Selain itu terdapat juga perkataan 'Tunggu Surat Rasmi Al-Fatihah'.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada surat itu ada kaitan dengan perbuatan militan atau sebaliknya.
#IS ancam #Ketua Polis Daerah Nilai #polis terima surat ancaman #Zaldino Zaludin
;