Polis terima satu lagi laporan berkaitan pengasas Dnars

Muhafandi Muhamad
Jun 26, 2022 07:12 MYT
Laporan kedua diterima pada 21 Jun lepas daripada abang Allahyarham.
KOTA BHARU: Satu lagi laporan polis diterima membabitkan siasatan ke atas penukaran nama syarikat yang dikaitkan dengan pengasas produk kecantikan, Dnars Skincare, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad.
Menurut Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, laporan kedua diterima pada 21 Jun lepas.
“(Laporan berhubung) pengasas Dnars, satu laporan polis kedua telah diterima pada 21 Jun lepas dan laporan ini lebih kepada kecurigaan atau sangsi atas satu resolusi dibuat iaitu menukar nama syarikat salah satu syarikat nama arwah dan ini kita akan buat siasatan lanjut untuk pengesahan tanda tangan sah atau tak dan masih dalam siasatan,” katanya di sini hari ini.
Jelas Muhamad Zaki lagi, pihaknya akan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan akan mendapatkan dokumen berkaitan untuk pengesahan sama ada tanda tangan yang digunakan sah atau sebaliknya.
Laporan polis dibuat oleh abang Allahyarham di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat.
BACA: Kematian pengasas Dnars: Polis mohon bantuan polis Thailand, Interpol
BACA: Keluarga pengasas Dnars buat laporan SPRM pula
Siasatan itu juga akan seiring dengan laporan awal pada 16 Jun lepas berhubung kecurigaan punca kemalangan berkenaan yang meragut nyawa Allahyarham.
Kemalangan berlaku semasa Faziani dan bekas suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim dalam perjalanan ke sebuah pondok pengajian agama di selatan Thailand bagi menyumbangkan sumbangan pada bulan Ramadan, Mei 2019.
Bagaimanapun kenderaan pelbagai guna Toyota Estima yang dinaiki pasangan itu merempuh sebuah lori yang diparkir di sebatang jalan menyebabkan Faziani maut di tempat kejadian, manakala Ahmad Shah Rizal mengalami kecederaan.
#Dnars Skincare #laporan polis #Thailand #meninggal dunia #Tumpat