Polis terima lima laporan berhubung ancaman bunuh Nik Elin - Saifuddin

Pia Ernadya
Februari 16, 2024 18:31 MYT
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kanan) bercakap pada sidang media selepas lawatan kerja Menteri ke Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima lima laporan berkaitan dakwaan ugutan bunuh terhadap peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid susulan tindakannya mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution ketika mengesahkan perkara itu berkata, kesemua laporan terbabit dibuat di Kuala Lumpur.
“Sehingga 15 haribulan Februari, laporan yang kami terima hanyalah di Kuala Lumpur dimana kami membuat pemantauan daripada Perlis sampailah Sabah," katanya ketika bercakap kepada media di markas Pasukan Gerakan AM, Cheras, di sini hari ini.
Tambah beliau, berdasarkan pemantauan, empat laporan itu diterima di Sri Hartamas manakala lagi satu lagi di Jinjang.
Polis katanya tidak akan memandang remeh tentang ancaman itu walaupun laporan yang diterima hanyalah sedikit.
“Seperti yang kita sedia maklum, tugasan polis ini untuk menjaga keamanaan dan ketenteraman. Jadi, perbuatan mengugut itu hanya akan merugikan,” tambahnya lagi.
Saifuddin turut berkata dia sangat yakin dengan tahap profesional dari pihak polis untuk menangkap golongan-golongan yang mencetus ancaman itu.
Pada Sabtu, Nik Elin Zurina memaklumkan menerima beberapa ugutan bunuh susulan tindakannya itu sebelum membuat tiga laporan polis.
Sebelum itu, pada Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.
Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempatisyen bagi mencabar 18 peruntukkan enakmen tersebut.
#PDRM #Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid #Saifuddin Nasution #ugutan bunuh #Kes Nik Elin
;