Polis terima laporan kes lelaki pukul isteri dalam lif

Astro Awani
Ogos 14, 2013 17:08 MYT
Polis Pulau Pinang sedang mengesan seorang lelaki untuk membantu siasatan kes memukul wanita di dalam sebuah lif di bandar Perda.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata, polis telah menerima laporan kes berkenaan dan usaha mengesan suspek sedang dilakukan.
Mazlan berkata, wanita berusia 36 tahun itu dipercayai mengunjungi hospital swasta bersama seorang lelaki yang didakwa suaminya untuk melawat anak sulung mereka yang dimasukkan ke wad hospital berkenaan akibat demam panas.
"Kalau kita tengok dalam video itu, suami telah memukul, menampar, pijak cermin mata dan tendang dia di depan anak dia umur 4 tahun dan 5 tahun. Jadi dalam kejadian ini, suami, 36 tahun kerja di jabatan kerajaan di Jerantut dan kita sedang mengesan dia.
"Perlakuan seorang suami memukul, menampar memang lah amat keterlaluan dan apa yang dipaparkan agak ganas dan minta mereka yang tahu di mana lelaki ini berada berhubung dengan pihak polis di mana-mana balai berdekatan," katanya.
Polis percaya masalah berpunca akibat salah faham selain berkaitan masalah rumah tangga kedua-duanya.
Mazlan berkata, wanita itu yang mengalami kecederaan di bahagian kepala, pergelangan tangan dan lengan telah mendapat rawatan dan keadaanya dilaporkan baik. Kes disiasat di bawah seksyen 323 Kanun Kesiksaan.
Dalam pada itu, pihak polis menafikan pihaknya enggan menerima laporan yang dibuat keluarga mangsa sebaliknya bertindak segera sebaik menerima laporan.
Imej yang tersebar di laman sosial Youtube dan Facebook memaparkan seorang lelaki bertindak memukul seorang wanita di depan dua kanak-kanak di dalam sebuah lif telah dimuat naik di laman berkenaan semalam.
Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 4 petang 12 Ogos lalu di dalam sebuah lif di sebuah hospital swasta di bandar Perda.
#isteri #lelaki #polis #pukul #Siasat
;