Polis terima laporan gangguan seksual anggota polis terhadap aktivis pelajar
Umavathi Ramayah
Februari 7, 2025 23:35 MYT
Februari 7, 2025 23:35 MYT
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang aktivis pelajar yang mendakwa diganggu secara seksual oleh anggota agensi keselamatan itu ketika keterangannya berhubung Perhimpunan Solidariti Palestin direkodkan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
"Saya sahkan ada laporan polis diterima di (IPD) Wangsa Maju dan siasatan dijalankan terhadap dakwaan berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Menurut Rusdi, mangsa hadir ke IPD berkenaan untuk direkodkan keterangan berhubung siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.
Perkara itu menjadi tular selepas Setiausaha Agung MUDA, Amir Abdul Hadi, berkongsi laporan polis yang dibuat mangsa di platform X.
Dalam laporan itu, pelajar tersebut mendakwa dia diintimidasi lima atau enam anggota polis yang menyoalnya di sebuah bilik siasatan tanpa kehadiran peguamnya.
Malah kata mangsa, dia juga diminta ke tandas dengan diiringi seorang pegawai penyiasat lelaki yang berpakaian preman.
Polis itu juga dikatakan memasuki tandas berkenaan dan menyuruh mangsa masuk bersamanya.