Polis terima dua laporan dakwaan pelanggaran SOP oleh ADUN Ketari
Afiezy Azaman
November 10, 2020 19:45 MYT
November 10, 2020 19:45 MYT
KUALA LUMPUR: Polis menerima dua laporan berhubung dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari Young Syefura Othman dilaporkan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, sehubungan itu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
"Pengadu mendakwa ketika berada di rumah di Kg Dato Ahmad Razali telah melihat media sosial Twitter dan Instagram yang memaparkan pemilik akaun ADUN Young Syefura memuat naik gambar bersama rakan-rakannya sedang berkelah di tepi pantai di Bagan Lalang tanpa mematuhi SOP PKPB.
"Pengadu melihat di akaun Instagram terdapat sembilan keping gambar yang dimuat naik di lokasi yang berhampiran dengan Avani Sepang Goldcoast Resort yang dipercayai percaya di Pantai Bagan Lalang.
"Menurut pengadu, Selangor pada ketika ini sedang melaksanakan PKPB yang mana aktiviti tersebut pada ketika ini adalah tidak dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Kelmarin, media melaporkan, Young Syefura memohon maaf selepas netizen menuduhnya melanggar SOP (PKPB) yang berkuat kuasa di Selangor.
Bagaimanapun, gambar itu kemudian dipadamkan selepas ia tular di media sosial.
Young Syefura juga menjelaskan, walaupun berkhidmat sebagai ADUN di Pahang tetapi beliau bermastautin di Selangor.
Pelaksanaan PKPB di Selangor, bermula pada 14 Oktober lalu, melarang pergerakan antara negeri dan daerah kecuali untuk tujuan kerja dan kecemasan.
Turut dilarang aktiviti berkelah berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) selain aktiviti pelancongan membabitkan perjalanan masuk dan keluar dari kawasan PKPB.
Mengulas lanjut, Fadzil turut menyatakan pengadu merasakan tidak berpuas hati kerana pelanggaran SOP melibatkan ahli politik bukan kali pertama.
"Jelas pengadu, ia berulang hinggakan rakyat menjadi marah kerana tiada apa-apa tindakan diambil kepada ahli politik sedangkan apabila rakyat biasa yang melanggar SOP tindakan serta merta diambil kepada mereka," kata Fadzil.
Kedua-dua laporan polis tersebut dibuat di Sepang.
#ADUN Ketari
#Young Syefura Othman
#Pelanggaran SOP
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#PKPB
#Majlis Keselamatan Negara
#MKN