Polis terima aduan, sedang siasat perarakan LGBT di ibu negara
Astro Awani
Mac 9, 2019 20:54 MYT
Mac 9, 2019 20:54 MYT
Polis Kuala Lumpur mengesahkan menerima laporan polis berhubung perarakan sempena Hari Wanita Antarabangsa yang disertai sekumpulan komuniti penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di ibu negara pada Sabtu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya akan menyiasat laporan itu di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman.
“Kami ada terima laporan mengenai perarakan wanita di hadapan pusat beli-belah Sogo. Ada kumpulan komuniti LGBT yang turut serta.
“Kita ambil maklum mengenai laporan ini dan sedang menjalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Warga kota terkejut dengan kehadiran peserta yang ramai dalam perhimpunan tersebut yang memulakan perararakn dari pusat beli belah Sogo hingga ke Masjid Jamek.
Memetik laporan Sinar Harian, jumlah peserta perarakan itu adalah kira-kira 1,000 orang.
Mereka yang dilengkapi sepanduk dan bendera pelangi turut melaungkan slogan ‘hentikan perkahwinan kanak-kanak’, ‘hidup wanita’ dan ‘jangan kacau LGBT’.
Para peserta himpunan itu terdiri daripada Women Aid Organisation (WAO), Sisters in Islam (SIS), aktivis dan pelajar.