Polis terima 140 laporan berkaitan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram

Bernama
September 9, 2023 21:08 MYT
Datuk Kamarul Zaman berkata, laporan paling banyak diterima adalah berhubung tindakan pihak tertentu menurunkan poster ataupun sepanduk, serta merosakkan papan iklan dan bendera. - Bernama
JOHOR BAHRU: Polis telah menerima 140 laporan yang berkaitan dengan pelbagai kesalahan berhubung proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram, dalam tempoh 26 Ogos lepas hingga tengah malam semalam.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata laporan yang paling banyak diterima adalah berhubung tindakan pihak tertentu menurunkan poster ataupun sepanduk, serta merosakkan papan iklan dan bendera.
"Bagaimanapun Alhamdulillah, perjalanan proses pengundian hari ini berjalan lancar di semua pusat mengundi di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram," katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat penjumlahan undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai lepas.
Sementara itu merujuk kepada insiden dua pengamal media di Johor didakwa dikasari pegawai pengiring seorang menteri Selasa lepas, Kamarul Zaman berkata siasatan dalaman telah dilakukan dan percakapan saksi telah dirakam.
"Siasatan dalaman telah dijalankan, kita sudah panggil seorang saksi dan rakam percakapan. Kini terpulang, kalau nak buat laporan polis, boleh buat, kita akan teruskan siasatan, jadi kalau rasa perlu buat (laporan) boleh buat," katanya.
Dalam insiden itu, dua wartawan wanita mendakwa dikasari beberapa pegawai pengiring seorang menteri ketika membuat liputan program kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai di Taman Anggerik dan Taman Dahlia, di sini.
-- BERNAMA
#PRK Johor #Kamarul Zaman Mamat #laporan polis #politik #bendera parti
;