Polis terima 13 laporan vaksin kosong

Hakim Rahman
Julai 23, 2021 13:12 MYT
Abd Jalil berkata siasatan mengenai perkara itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah dan kesemua kes masih di peringkat siasatan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 13 laporan berhubung pemberian vaksin kosong oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sejak beberapa hari lalu.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, laporan melibatkan tujuh kes di Kuala Lumpur, tiga di Selangor dan masing-masing satu kes di Kedah, Perak dan Melaka.
"Siasatan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah dan kesemua kes masih di peringkat siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
BACA: CITF siasat dakwaan individu disuntik dengan picagari kosong di PPV
BACA: Polis nafi dakwaan individu disuntik dengan picagari kosong di PPV BACC
KKM sebelum ini menjelaskan, mana-mana individu yang terbukti diberikan suntikan vaksin 'picagari kosong' akan menerima suntikan dos baharu.
Sementara itu, Abd Jalil turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dan cakna dengan inisiatif vaksinasi yang sedang dilaksanakan kerajaan bagi membendung penipuan berkaitan penjualan vaksin COVID-19.
"Sehingga kini vaksin COVID-19 hanya dibekalkan oleh kerajaan mengikut Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan sebarang penjualan atau pembekalan vaksin melalui medium lain termasuk secara dalam talian adalah tidak dibenarkan," katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhati-hati mengeluarkan kenyataan belibatkan isu-isu sensitif seperti pemberian vaksin.
Picagari Kosong | KKM tidak tolak keletihan jadi punca
#PDRM #KKM #suntikan #vaksin #vaksin kosong #PPV #siasatan #PICK #COVID-19 #Polis Diraja Malaysia #Kementerian Kesihatan #media sosial #Bukit Aman #Pusat Pemberian Vaksin #Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman #Abd Jalil Hassan
;