Polis Terengganu tingkatkan rondaan di kampung, perumahan

Nur Fazlizai Ali
Mei 26, 2020 07:26 MYT
Selain pemeriksaan di rumah, polis turut meningkatkan kawalan dan pemantauan di kawasan pantai yang menjadi tumpuan ramai untuk berkunjung. - Foto Astro AWANI
Meskipun sudah memasuki hari keempat Syawal, polis Terengganu terus mempertingkatkan rondaan dan pemantauan khususnya di kawasan kampung dan perumahan.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, setakat ini polis memberi amaran kepada 17 pemilik rumah kerana didapati tidak mematuhi peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menurutnya, semua kes berkenaan dikesan pada hari raya pertama dan kedua menerusi pemeriksaan di 44 buah kampung dan 15 buah kawasan perumahan.
“Setakat ini kami hanya memberi amaran dan tiada kompaun dikeluarkan. Selain pemeriksaan di rumah, polis turut meningkatkan kawalan dan pemantauan di kawasan pantai yang menjadi tumpuan ramai untuk berkunjung.
“Tindakan ini dilakukan berikutan orang ramai mengunjungi kawasan pantai untuk melepak dan bersantai khususnya di pantai Seberang Takir atau lebih dikenali dengan panggilan Pantai Miami pada hari raya pertama,” katanya.
Tegas beliau, prosedur operasi standard (SOP) PKPB tidak membenarkan orang ramai berkumpul di kawasan pantai dan taman rekreasi bagi mengelak perhimpunan demi memutuskan rantaian COVID-19.
Justeru, seramai 30 anggota dan pegawai ditugaskan di sepanjang laluan Pantai Miami hingga ke Tok Jembal, Kuala Nerus.
#hari raya #Kuala Terengganu #pemantauan #pematuhan #perhimpunan #PKPB #polis #rondaan #rumah #SOP
;