Polis Terengganu salur elaun COVID-19 kepada penduduk terjejas

Nur Fazlizai Ali
Julai 30, 2021 08:03 MYT
Sebanyak 40 bakul makanan termasuk sumbangan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) disalurkan kepada penduduk. - Astro AWANI
PULAU REDANG: Kumpul elaun COVID-19 yang diterima untuk salurkan kembali kepada masyarakat yang terkesan akibat pandemik.
Itu antara inisiatif dilakukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dalam usaha membantu penduduk di Pulau Redang.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, langkah dilaksanakan itu sebagai usaha membantu mereka yang terkesan dengan pandemik yang melanda lebih setahun lalu.
Tersentuh dan prihatin dengan golongan yang terjejas ini mereka juga sepakat mengumpul elaun yang diterima dengan menyumbang keperluan harian kepada mereka yang kurang bernasib baik.
"Kebanyakan mereka di Pulau Redang ini bekerja dalam sektor pelancongan dan mereka sangat terkesan akibat pandemik ini.
"Kami telah kenal pasti 40 keluarga di sini bagi kami menghulurkan bantuan," katanya.
Menerusi Op Bantu kali ini, sebanyak 40 bakul makanan termasuk sumbangan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) disalurkan kepada penduduk yang terdiri daripada pengusaha pelancongan serta pesakit kronik.
Sebelum ini pasukan polis trafik Terengganu juga mengumpulkan elaun COVID-19 mereka untuk disumbangkan kepada golongan terjejas.
Sementara itu Rohaimi berkata sejak awal bulan Jun lalu pihaknya juga mengesan empat kes bendera putih membabitkan beberapa daerah di negeri itu.
Bagaimanapun tindakan pantas telah diambil agensi berkaitan bagi membantu mereka.
BACA: PEMULIH: Golongan miskin tegar, B40, M40 dapat Bantuan Khas COVID-19 bermula Ogos - PM
BACA SEMUA BERKAITAN PEMULIH DI SINI
Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan, kerajaan akan memberi Bantuan Khas COVID-19 (BKC) kepada isi rumah kategori miskin tegar, B40 dan M40 termasuk golongan bujang bermula Ogos.
Menurut Perdana Menteri, bantuan itu bakal memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion.
Sejumlah RM300,000 juga diberikan kepada semua Ahli Parlimen bagi program Bantuan Bakul Makanan seperti yang diumumkan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) mula disalurkan pada 1 Julai.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berhubung perkara ini memaklumkan peruntukan itu turut diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
#COVID-19 #elaun #Penduduk #Bakul Makanan #polis #PEMULIH
;